suria

ATM juara Piala Emas Khir Johari

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara kejohanan sepak takraw Piala Emas Khir Johari edisi ke46 setelah menundukkan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini petang semalam.

Regu pertama ATM yang terdiri daripada Mohamad Fairul Zainal Abidi, Shukrey Mohd Derin dan Sahrudin Salim berjaya mengutip mata pertama apabila regu pertama mereka menundukkan lawan 21-11, 21-16.

Terengganu bagaimanapun bangkit menyamakan mata 1-1 melalui regu kedua apabila Zulkifli Abd Razak, Mohd Fadzli Mohd Roslan dan Zulhafizudin Roslan menundukkan regu kedua ATM 21-18, 21-19.

Perlawanan regu ketiga bertambah rancak apabila pasukan ATM yang membariskan Aswadi Abdullah, Raja Amran Raja Idris dan Mohamad Amri Mohd Noor memenangi perlawanan dalam permainan tiga set 14-21, 21-10, 15-13.

"Kita memang gembira dengan kemenangan ini terutama kesungguhan yang ditunjukkan oleh regu ketiga kita yang bangkit setelah ketinggalan pada set pertama," kata pengurus pasukan ATM, Leftenan Komandan Md Zain Zakaria kepada pemberita di sini hari ini.

Md Zain berkata ia adalah satu kebanggaan setelah kali terakhir ATM memenanginya pada 2001, malah pada peringkat awal mereka hanya meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir.

Kejayaan ini membolehkan ATM membawa pulang Piala Emas Khir Johari dan hadiah RM5,000 manakala Terengganu muncul naib juara untuk tiga tahun berturutturut dan membawa pulang RM3,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain