suria

Prestasi pemain sepak takraw membimbangkan

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh melupakan hasrat merangkul sebutir emas dalam acara sepak takraw pada Sukan SEA Laos Disember ini jika prestasi skuad negara pada perlawanan ujian hari ini dijadikan ukuran.

Biarpun pasukan Malaysia B muncul juara, yang terdiri daripada Ahmad Sufi Mohd Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Syafiq Rahman, namum empat lagi pasukan kebangsaan gagal mara ke saingan separuh akhir.

Perlawanan ujian selama dua hari itu di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Keramat, di sini, disertai oleh 32 pasukan.

Prestasi pemain negara menimbulkan kebimbangan kepada jurulatih negara Haris Abdul Rahman yang mengakui kekurangan pengalaman di kalangan anak buahnya menyebabkan mereka gagal memberi saingan kepada pasukan lain.

"Ada sesetengah perlawanan kita mendahului pungutan mata, namun akhirnya tewas kerana lawan mempunyai pengalaman yang lebih luas," katanya kepada pemberita di sini.

Di sebalik kekurangan pendedahan dalam perlawanan bertaraf tinggi, namum Haris memuji semangat pemain negara yang cuba menampilkan mutu persembahan yang terbaik sepanjang sesi ujian itu.

Pada perlawanan akhir, Malaysia B menewaskan pasukan Seri Putra yang diwakili oleh dua bekas pemain kebangsaan iaitu Mohd Normanizam Ahmad dan Mohd Futra Abdul Ghani bersama Ariff Ramli dalam perlawanan tiga set 21-19, 18-21, 15-10.

Kem latihan skuad kebangsaan akan ditutup mulai esok sehingga 12 April bagi membolehkan pemain beraksi pada Kejohanan Piala Emas Khir Johari mulai 7 April ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain