‘UglyDolls’ bukan karya hebat tetapi nilai positifnya mampu beri kesedaran - Wayang | mStar

‘UglyDolls’ bukan karya hebat tetapi nilai positifnya mampu beri kesedaran

Kehadiran filem animasi UglyDolls seminggu selepas filem Avengers: Endgame membuatkan ia tenggelam dan kurang meraih perhatian.

Filem: UglyDolls

Pengarah: Kelly Asbury

Penyumbang suara: Kelly Clarkson, Janelle Monae, Blake Shelton, Pittbull, Nick Jonas, Wang Lee Hom, Bebe Rexha dan Wanda Sykes

Genre: Animasi

Durasi: 87 minit

Pengedar: 20th Century Fox

Tarikh Tayangan: 1 Mei 2019 .

Barisan penyumbang suara untuk watak-watak utama filem animasi UglyDolls iaitu (dari kiri) Nick Jonas, Blake Shelton, Emma Roberts, Pitbull, Janelle Monae dan Kelly Clarkson.


UNTUK mana-mana filem yang ditayangkan dalam tempoh terdekat selepas tayangan filem yang jatuh dalam kategori blokbuster mega sememangnya dianggap sebagai menempah maut.

Walau mempertaruhkan nama-nama besar sekalipun dengan genre filem yang berlainan, memang agak sukar untuk meraih perhatian penonton. Apatah lagi, untuk ia mencatatkan kutipan membanggakan.

Demikian nasib yang menimpa filem animasi baharu, UglyDolls yang mula ditayangkan seminggu selepas Avengers: Endgame yang sememangnya masih lagi belum kebah kehangatannya.

Hasilnya filem berkenaan hanya mencatatkan kutipan pembukaan sekitar AS$8.7 juta (RM36.1 juta) di Amerika Syarikat minggu lalu berbanding dengan jumlah kos pembikinannya dalam lingkungan AS$45 juta (RM186.8 juta).

Meskipun begitu, tidak bermakna ia menandakan UglyDolls sebuah filem yang teruk mahupun buruk tetapi nasib tidak menyebelahi karya arahan Kelly Asbury (Shrek 2, 2004) itu untuk mendapat sambutan yang diharapkan.

Penulis yang berpeluang menonton UglyDolls beberapa hari lalu tidak melihatnya sebagai sebuah naskhah yang boleh dikategorikan sebagai antara yang terburuk tahun ini.

Salah satu babak yang mempamerkan patung permainan yang dicipta dengan sempurna dengan setiap satunya memiliki personaliti dan karakter yang cukup dekat dengan manusia.

Filem yang diadaptasi daripada rangkaian permainan patung dengan nama yang sama itu sebenarnya layak dan sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga.

Barangkali ada yang mahu ‘lari’ sebentar daripada populariti dan fenomena Avengers: Endgame, UglyDolls memberikan santapan yang tidak kurang enaknya untuk khalayak.

Secara jujurnya, penulis tidak melihat UglyDolls yang merupakan idea daripada pengarah terkenal, Robert Rodriguez (Alita: Battle Angel, 2019) manakala lakon layarnya pula garapan Alison Peck adalah sesuatu yang asli.

Keaslian yang penulis maksudkan apabila UglyDolls yang merupakan sebuah karya animasi muzikal ini dilihat tidak ubah seperti filem animasi terdahulu.

Dalam konteks ini, sekali imbas ia mengingatkan penulis kepada filem Trolls (2016). Namun, itu bukan bermakna UglyDolls menciplak filem berkenaan tetapi formula yang diguna pakai itu tidak memberikan impak yang besar buat UglyDolls untuk menyerlah.

Entah mengapa, penulis tidak merasakan jiwa yang sepatutnya ada dalam setiap karakter di dalam filem ini terutama patung permainan yang tinggal di UglyVille.

Sedangkan setiap daripada mereka memiliki emosi serta konflik tersendiri untuk menjadikan filem ini bernyawa dan seterusnya meninggalkan impak lalu menjadikan ia sebagai sebuah karya animasi terbaik.

Semuanya sekadar berada di permukaan sahaja walaupun penulis mengakui bahawa UglyDolls sarat dengan mesej positif yang wajar diambil iktibar oleh semua pihak.

Ternyata UglyDolls mengambil pendekatan masalah penyakit media sosial hari ini sebagai satu metafora untuk memperlihatkan konflik yang berlaku di kalangan watak-watak utama dalam filem ini.

Filem UglyDolls bukan sebuah karya hebat tetapi nilai dan mesej positifnya cukup revelan dengan keadaan semasa.

Mungkin akan ada yang berpendapat dari aspek visualnya seperti tidak sesuai untuk kanak-kanak terutamanya apabila ia menceritakan tentang diskriminasi yang wujud dalam kalangan masyarakat.

Tetapi, itu adalah satu realiti yang berlaku pada hari ini dan ia dilihat sebagai satu penyakit yang semakin membarah terutama bagi mereka yang kini begitu taksub dengan dunia media sosial.

Media sosial hari ini digambarkan sebagai medan untuk memperlihatkan dua kelompok manusia yang mengutamakan kecantikan dan kesempurnaan dari segi fizikal dan paras rupa terutamanya.

Manakala kelompok yang satu lagi pula mewakili mereka yang kurang bernasib baik apabila dilihat tidak setanding dengan mereka yang cukup sempurna tanpa sebarang cacat-cela di mata orang lain.

Namun, jauh di sudut hati mereka, keinginan untuk berdampingan dan berada bersama-sama dengan mereka yang sempurna itu tetap ada atas nama kasih sayang, kemanusiaan dan persahabatan.

Tetapi, sudah menjadi resmi dunia, yang buruk dan tidak setanding itu akan cuba dipinggirkan walaupun yang dipandang rendah itu memiliki hati emas yang kecantikannya tidak setaraf fizikal dan rupa.

Metafora inilah yang menggambarkan kehidupan di dalam dunia UglyDolls di mana sekumpulan kawan-kawan iaitu Moxy (suara oleh Kelly Clarkson), Lucky Bat (Wang Lee Hom), Ugly Dog (Pitbull), Wage (Wanda Sykes) dan Babo (Gabriel Iglesias) yang sentiasa ceria dan bahagia dengan kehidupan mereka.

Watak Moxy yang digambarkan memiliki perwatakan positif, sentiasa berusaha dan tidak mudah putus asa meskipun memiliki kekurangan.

Walaupun mereka hanyalah patung yang ditolak kerana tidak sempurna pembuatannya lalu dicampak ke sebuah daerah asing dinamakan UglyVille, tetapi hidup mereka bersama penduduk yang lain sentiasa positif dan gembira.

Cuma, Moxy sahaja yang dilihat seperti bersemangat dan tidak pernah kenal erti putus asa untuk menempatkan dirinya di dalam dunia manusia untuk dijadikan sebagai patung permainan mereka.

Sehingga pada satu hari, Moxy memberanikan diri untuk memasuki ke sebuah terowong yang akhirnya membawanya dan kawan-kawannya yang lain ke Institute of Perfection atau Institut Kesempurnaan.

Di sana, setiap patung dicipta dengan sempurna yang kemudiannya ditentukan personaliti dan tugas masing-masing sebelum dihantar ke dunia manusia oleh ketuanya, Lou (Nick Jonas).

Namun, masalah mula timbul apabila ketibaan Moxy dan rakan-rakannya yang seterusnya telah mengubah situasi di sana secara total lalu membawa kepada satu perubahan yang berpaksikan kepada erti kemanusiaan yang sebenar.

Seperti yang penulis katakan, UglyDolls memiliki premis yang menarik dan cukup positif tetapi ia tidak digarap dengan menyeluruh untuk menjadikan ia karya yang kuat.

Akan tetapi, di sebalik kelemahan itu, UglyDolls memiliki keistimewaan tersendiri yang dapat meletakkan ia sebagai filem animasi yang mampu mencipta kelompok peminat sendiri atau istilahnya, cult followers.

Sudahpun namanya filem muzikal, pastinya UglyDolls mempertaruhkan lagu dan muzik yang rancak serta memiliki mesej positif yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Ditambah pula dengan menggunakan suara penyanyi hebat yang pemenang Grammy tiga kali, Kelly Clarkson selain Janelle Monae, Blake Shelton dan Nick Jonas, runut bunyi dan lagu yang ditampilkan tidak kurang enaknya.

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa

UglyDolls

Artikel Lain