‘Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald’ kurang hamparan magisnya - Wayang | mStar

‘Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald’ kurang hamparan magisnya

Barisan pelakon utama filem 'Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald' yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Filem: Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald

Pengarah: David Yates

Pelakon: Eddie Redmayne, Johnny Depp, Jude Law, Katherine Waterston, Dan Fogler, Alison Sudol, Ezra Miller dan Zoe Kravitz

Genre: Drama/Fantasi

Durasi: 134 minit

Pengedar: Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan: 15 November 2018

PENULIS memang cukup menanti kehadiran filem susulan kedua francais filem Fantastic Beasts selepas filem pertamanya, Fantastic Beasts and Where to Find Them (2016) benar-benar membuatkan penulis terkesima.

Seperti mana yang pernah penulis ulas menerusi kolum ini, Fantastic Beasts and Where to Find Them disifatkan sebagai sebuah karya luar biasa oleh penciptanya, J. K. Rowling yang juga pencipta dunia magis Harry Potter.

Justeru, apabila filem pertamanya yang bukan sahaja mencatatkan kutipan pecah panggung di seluruh dunia tetapi mendapat kritikan positif daripada semua pihak, maka, ramai meletakkan harapan untuk melihat filem keduanya menyamai standard filem pertama.

Filem Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald memiliki kekurangan dari segi plot ceritanya tetapi masih memiliki nilai estetika tinggi dalam memberikan hiburan kepada penonton.

Jujurnya, penulis sangat jarang membaca ulasan filem yang ditulis oleh pengkritik filem antarabangsa tetapi disebabkan keterujaan penulis terhadap filem Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald, penulis ketepikan prinsip tersebut.

Memang agak mengejutkan apabila rata-rata mengatakan penghasilan Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald atau lebih mudah ditulis sebagai Fantastic Beasts 2 cukup mengecewakan terutama dari sudut penceritannya.

Namun, penulis bersikap positif kerana tidak semestinya apa yang dikritik oleh pengkritik profesional itu bersifat menyeluruh kerana setiap individu memiliki citarasa yang berbeza.

Akan tetapi, selepas menonton sendiri Fantastic Beasts 2 tempoh hari, ternyata apa yang dikatakan itu sebahagian besarnya benar belaka.

Penulis tidaklah terlalu kecewa sepenuhnya dengan apa yang telah dipersembahkan menerusi filem ini kerana lahiriahnya, Fantastic Beasts 2 masih lagi memiliki nilai komersial tinggi sebagai sebuah filem popular.

Dalam konteks ini, nilai estetikanya terutama penekanan terhadap aspek teknikalnya seperti tata rias, kostum, penataan seni dan efek visualnya masih lagi berada pada tahap cemerlang.

Bekas pemenang Oscar, Eddie Redmayne kembali membawakan wataknya sebagai Newt Scamander.

Ia cukup sesuai dengan dunia fantasi ciptaan Rowling itu sendiri seperti mana yang pernah dipersembahkan dalam filem pertamanya.

Jika menerusi filem pertamanya, Rowling memperkenalkan makhluk-makhluk pelik dan unik kepada penonton, Fantastic Beasts 2 juga tidak kurang menariknya apabila babak-babak melibatkan Newt Scamander (lakonan bekas pemenang Oscar, Eddie Redmayne) dan kumpulan binatang kesayangannya.

Penulis cukup sukakan babak apabila Scamander bersama makhluk air yang telah dipersembahkan dengan berkesan seperti membawa penulis bersama-sama merasai pengalaman tersebut.

Tetapi, penulis tidak mendapat kepuasan daripada apa yang dipersembahkan kerana terasa cukup singkat walaupun penulis faham bahawa itu bukan fokus utama Rowling dalam filem kedua ini.

Kekecewaan penulis itu terletak kepada plot penceritaannya yang disifatkan sebagai terlalu padat sehingga apa yang mahu dipersembahkan oleh Rowling selaku penulis cerita dan lakon layarnya seperti hilang arah.

Dalam erti kata lain, Rowling seolah-olah mahu mencipta dunia Harry Potter yang kedua walhal seharusnya perkara itu tidak patut berlaku. Ini kerana penulis melihat francais filem Fantastic Beasts berada dalam dunianya tersendiri.

Watak Albus Dumbledore cukup cocok dengan bekas calon Oscar, Jude Law.

Penulis yang membeli dan membaca buku Fantastic Beasts and Where to Find Them mengakui premis buku berkenaan sangat luar biasa dan membayangkan bahawa ia mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah francais baharu tanpa dibayangi oleh Harry Potter secara total.

Benar, penulis cukup faham dunia Fantastic Beasts memang tidak dapat lari daripada Harry Potter kerana secara tidak langsung, dua dunia itu memang berkait rapat terutama melibatkan sebagai seorang zoologist dan bekas pelajar Hogwarts.

Ditambah pula dia memiliki hubungan erat dengan seorang profesor yang kemudiannya menjadi pengetua Hogwarts, Albus Dumbledore (lakonan bekas calon Oscar, Jude Law). Sehubungan itu, memang wajar cerita itu dikembangkan.

Akan tetapi, menerusi Fantastic Beasts 2, kesilapan yang telah dilakukan oleh Rowling apabila beliau seperti tergesa-gesa mahu merungkai misteri sehingga menyebabkan beberapa subplot yang ditampilkan dilihat tidak sepatutnya wujud dalam filem kedua ini.

Memang tidak dinafikan ada antara subplot tersebut cukup menarik terutama kemunculan Nagini (Claudia Kim) yang kemudiannya merupakan menjadi watak penting dalam francais Harry Potter.

Namun, apabila cerita sampingan seperti kekeliruan yang melanda dalam konflik cerita Credence Barebone (Ezra Miller), Leta Lestrange (Zoe Kravitz) dan Queenie Goldstein (Alison Sudol), ia membuatkan penonton sukar untuk memfokuskan plot cerita utamanya yang melibatkan pertembungan dua hala yang dicetuskan oleh Gellert Grindelwald (Johnny Depp) yang akhirnya tidak memberikan impak besar.

Bekas calon Oscar, Johnny Depp sebagai Gellert Grindelwald manakala Poppy Corby–Tuech sebagai orang kanannya, Vinda Rosier.

Seharusnya Rowling membina momentum untuk francais Fantastic Beats secara perlahan-lahan kerana ada tiga buah filem lagi yang bakal diterbitkan.

Penulis mengharapkan untuk melihat konflik yang lebih mendalam terhadap hubungan antara Scamander dan buah hatinya, Tina Goldstein (Katherine Waterston) selain hubungan tegang antara Queenie dan Jacob Kowalski (Dan Fogler).

Sementelah filem pertamanya sudah berupaya mengukukuhkan persahabatan antara Newt, Tina, Jacob dan Queenie, sudah pastinya penulis mahu melihat bagaimana konflik antara mereka terus dikembangkan.

Tetapi hubungan antara empat karakter ini seperti terasing dan penulis tidak dapat merasai kesepakatan itu. Bahkan, hubungan cinta antara Jacob dan Queenie juga kelihatan tidak menjadi kali ini terutama apabila Queenie mengikut kata hatinya untuk menyertai Grindelwald.

Lebih-lebih lagi, penulis melihat premis Fantastic Beasts adalah bersifat dewasa. Justeru, latar cerita dan permainan karakter juga seharusnya menepati sasaran penonton dewasa yang mahu menikmati cerita jauh berbeza daripada Harry Potter.

Seperkara yang dilihat tidak memberikan impak apabila kemunculan watak ahli alkimia dan sahabat baik Dumbledore, Nicolas Flamel (Brontis Jodorowsky) yang dilihat hanya sekadar mahu ditampilkan demi untuk menarik perhatian peminat Harry Potter.

Eddie Redmayne sebagai Newt Scamander dan Don Fogler (Jacob Kawolski) dalam satu babak filem Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald.

Begitu juga dengan kemunculan seketika watak Profesor Miverna McGonagall sewaktu muda (Fiona Glascott) yang mungkin untuk membuatkan penonton berkata-kata dan kagum tetapi sebenarnya ia tidak berlaku.

Malah, lebih malang apabila kemunculan watak itu menjadi pertikaian dan perdebatan ramai kerana jika dilihat kepada sejarah Harry Potter, McGonagall pernah disebut dilahirkan sekitar tahun 1930-an sedangkan latar belakang cerita Fantastic Beasts 2 berlaku pada tahun 1927.

Apa pun yang telah berlaku, tidak ada salahnya pun untuk menonton Fantastic Beasts 2 sebagai wadah hiburan semata-mata.

Namun, untuk peminat tegar Fantastic Beasts dan mungkin Harry Potter, cerita Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald tidak dapat menyamai kecemerlangan filem pertamanya.

Dari satu aspek, sudah menjadi resmi untuk mana-mana francais filem, naik turun itu tetap ada dan Fantastic Beasts tidak terkecuali walaupun hanya baru dua filem sahaja.

Barangkali dengan tiga filem bakal menyusul pada 2020, 2022 dan 2024, Rowling sudah bersedia untuk menebus kesilapannya.

Semuanya adalah untuk melihat agar Fantastic Beasts dapat menempatkan kedudukannya dengan selesa sebagai salah sebuah francais filem paling menguntungkan di dunia.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan