suria

P.Ramlee jadi inspirasi Henry Golding, ini 9 lagi fakta menarik tentang Crazy Rich Asians!

Barisan pelakon Crazy Rich Asians yang diadaptasi dari novel tulisan Kevin Kwan.

FILEM Crazy Rich Asians yang sedang ditayangkan di seluruh dunia ketika ini sememangnya menjadi topik hangat terutama dalam kalangan kaki wayang.

Begitu juga rakyat di negara ini yang pastinya teruja menyaksikan teraju utama filem itu yang berasal dari Malaysia iaitu Henry Golding.

Selain Henry, seorang lagi permata kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh turut memegang watak dalam karya berkenaan.

Henry suatu ketika dahulu pernah mencipta nama sebagai pengacara di negara ini.

Bagi yang tidak tahu, filem itu merupakan adaptasi dari novel popular tulisan Kevin Kwan yang menggunakan judul sama.

Ayuh kita ikuti 10 fakta menarik mengenai filem ini dan penulis novelnya.

1. Penulis, Kwan sememangnya berasal dari keluarga kaya.

Dia merupakan cucu kepada pengasas bank paling tua di Singapura, Oversea Chinese Banking Corporation.

Malah, dia juga bersaudara dengan Nancy Kwan, bintang filem berdarah kacukan China-Amerika yang pernah tampil menerusi karya seperti The World Of Suzie Wong dan Flower Drum Song.

2. Kwan dilahirkan di Singapura dan berpindah ke AS sewaktu berusia 11 tahun.

Kwan masih ingat suatu ketika dahulu sewaktu dia mengunjungi kediaman rakannya dan melihat sebuah kolam di ruang tamu yang dipenuhi dengan anak jerung.

Apa yang disaksikannya pada waktu itu memberi inspirasi kepadanya untuk watak Peik Lin Goh dalam novel tersebut.

Kevin Kwan bersama novel Crazy Rich Asians yang mendapat sambutan hangat.

3. 20 tahun lalu, Kwan menulis sajak berjudul Singapore Bible Study yang menjadi permulaan bab dua novel tersebut.

4. Ianya sentiasa menjadi objektif Kwan untuk menulis trilogi. Keseluruhan karya sudah berada di dalam mindanya sebelum dia memulakan penulisan buku pertama.

"Kekayaan orang Singapura berbeza dengan orang Hong Kong, begitu juga dengan Taiwan," ujarnya kepada The Hollywood Reporters.

Henry yang berbangsa Iban memiliki dua tatu tradisional di bahu kiri dan kanannya.

5. Salah satu faktor yang memberi ilham kepada penghasilan novel itu adalah untuk menembusi pasaran buku barat yang tidak mempunyai banyak penulisan mengenai Asia.

"Tidak ada penulis yang benar-benar menulis mengenai Asia dan apa yang berlaku di Asia," ujarnya.

6. Karya tulisan Kwan juga melalui detik kurang menyenangkan sewaktu ia dihantar kepada editor.

Mereka tidak mempercayai apa yang ditulis Kwan dan meminta dia supaya membuang beberapa bahagian sehingga Kwan terpaksa menghantar keratan akhbar bagi membuktikan apa yang ditulisnya.

7. Kwan mungkin banyak menulis mengenai kekayaan keluarga, namun dia juga berpengalaman dalam menilik nasib.

Henry turut mendedahkan bahawa P.Ramlee adalah inspirasinya sejak dia kecil.

Dia merupakan penulis bersama Luck: The Essential Guide, panduan mengenai kepercayaan nasib dan tip-tip untuk mengubah nasib.

8. Menurut South China Morning Post, Carzy Rich Asians sudah pun diterjemah ke dalam 12 bahasa setakat ini.

9. Pelakon utama Crazy Rich Asians, Henry Golding menjadikan seniman terkenal, Allayarham P.Ramlee sebagai inspirasinya.

Menerusi temubual bersama The Hollywood Reporters, dia ditanya siapakah individu yang menjadi inspirasinya sejak kecil.

Dia memberitahu P.Ramlee adalah inspirasinya kerana kebolehan legenda itu menyanyi, menulis, berlakon dan menguasai bakat-bakat lain.

10. Henry memiliki tatu tradisional yang menggabungkan imej kepala naga di bahagian hadapan bahu kiri dan kanannya. -Star2


Artikel Lain