suria

Penonton keliru, ‘Pulang’ lebih berkualiti kutip RM1 juta, hiburan kosong ‘HKL’ kaut RM9 juta

KUTIPAN filem tempatan iaitu Hantu Kak Limah  jauh lebih tinggi berbanding filem Pulang yang turut ditayangkan dalam masa yang sama menjadi topik hangat netizen di laman sosial Twitter.

Seorang peminat filem Noor Helmie Mohd Yusoh menerusi akaun Twitternya meluahkan rasa keliru dengan selera penonton sama ada mahukan kualiti ataupun sekadar hiburan kosong telah mendapat pelbagai reaksi netizen.

"Pulang meraih RM1 juta lebih dalam seminggu, manakala Hantu Kak Limah RM9 juta dalam tempoh empat hari. Apa sebenarnya kemahuan dan kehendak selera penonton tempatan?

"Kualiti atau sekadar hiburan kosong? Kalau sama sama dapat bagi pendapat di bawah apa salahnya," tulisnya.

Status tersebut mendapat lebih 7 ribu kicau semula dengan pelbagai pendapat netizen di laman sosial itu.

Status Noor Helmie mendapat perhatian dan diulang Tweet sebayang lebih 7,000 kali.

Sebelum ini, filem arahan Mamat Khalid berjudul Hantu Kak Limah sudah memecahkan rekod sebagai filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi iaitu lebih RM9 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan.

Dalam masa sama, filem terbitan Grand Brilliance berjudul Pulang arahan Kabir Bhatia turut ditayangkan di pawagam dan mendapat kutipan RM1 juta dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun, Noor Helmie tidak menafikan kedua-dua filem tersebut bagus namun penonton lebih memilih karya lebih ringan berbanding filem yang bermain dengan emosi.

"Kedua-kedua filem bagus, tidak buruk dan juga tidak terlalu bagus cuma mungkin penonton masih terlalu inginkan ringan berbanding sedikit curahan jiwa dan perasaan dalam filem. 

"Bagusnya kalau kedua-dua filem mengutip kutipan yang seimbang tapi sayangnya tidak," tulisnya.

Antara pandangan netizen terhadap kedua-dua filem tersebut.

Sementara itu, seorang netizen berpendapat nama pengarah turut memainkan peranan bagi menarik penonton ke pawagam.

"Bagi aku nama pengarah itu sendiri memain peranan bagi jumlah penonton yang hadir ke pawagam. Walaupun filem klise dan simple, orang tetap akan turun.

"Filem berat ada disajikan tapi pengarah ambil sikap berhati-hati kerana kemahuan penonton yang masih belum boleh menerima," ujarnya.

Bagi @Rayariffin, Hantu Kak Limah sudah mempunyai peminat tersendiri berikutan filem tersebut merupakan filem sekuel ketiga daripada pengarah berkenaan.

"Salah satu faktor orang ramai menonton Hantu Kak Limah adalah kerana filem itu sudah mempunyai peminat tersendiri. Tiada yang pelik kenapa orang pergi tengok beberapa kali.

"Pulang pula filem baru tapi kalau buat sekuel mungkin akan ada lagi kutipan," ujarnya.

Dalam pada itu seorang netizen berpendapat, Pulang lebih tertumpu kepada sesuatu golongan berbanding Hantu Kak Limah yang ditonton seisi keluarga.

"Saya tonton dua-dua filem itu cuma ketika saya menonton filem Pulang bersama kekasih dan filem Hantu Kak Limah pula tengok berlima dengan anak-anak buah sebab itu kutipan dia lebih banyak.

"Macam dalam kelas Sejarah beberapa orang sahaja yang minat, genre hantu pula lebih bersifat umum, santai dan mudah difahami semua lapisan masyarakat," ujarnya.

Selain itu, ada juga berpendapat promosi filem berkenaan turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penonton.

Pulang mengisahkan kedukaan seorang lelaki berasal dari Serkam (sebuah perkampungan nelayan di Melaka) iaitu Othman yang berlayar ke serata dunia.

Othman (lakonan Remy Ishak) ingin mengubah nasib keluarganya yang hidup dalam kesempitan dan terpaksa meninggakan isteri Che Thom (Puteri Aishah) dan anaknya, Omar (Azrel Ismail).

Filem yang memaparkan beberapa buah lokasi terkenal yang berbeza termasuklah di Melaka, Hong Kong, Okinawa, Kepulauan Jeju dan Liverpool, England.

Penggambaran filem epik terbitan Primeworks Studio ini menjalani penggambaran pada dua tahun lalu dan ditayangkan pada 26 Julai lalu.

Manakala Hantu Kak Limah merupakan sekuel ketiga di bawah arahan Mamat Khalid. Pelakon utama filem ini masih mengekalkan Delimawati dan Awie serta beberapa watak sampingan yang lain.

Filem ini mula ditayangkan sejak 9 Ogos lalu.

Hantu Kak Limah, Pulang

Artikel Lain