suria

Sentuhan Lebih Relaks Untuk ‘Thor: Ragnarok’

Tidak seperti dua filem terdahulu, Thor: Ragnarok memperlihatkan sisi berbeza keseluruhan filem tersebut yang lebih santai dan relaks.

Filem: Thor: Ragnarok

Pengarah: Taika Waititi

Pelakon: Chris Hemsworth, Tom Hiddleston, Cate Blanchett, Mark Ruffalo, Tessa Thompson, Idris Elba, Karl Urban, Jeff Goldblum dan Anthony Hopkins.

Genre: Aksi/Komedi

Durasi: 130 minit

Pengedar: Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan: 26 Oktober 2017

JIKA ditanya secara peribadi kepada penulis tentang francais filem Thor yang kali pertama diperkenalkan kepada khalayak filem pada tahun 2011, jujurnya, ia tidak berada dalam senarai filem adiwira kegemaran penulis. 

Bukan bermakna penulis langsung tidak menyukainya, tetapi barangkali watak Thor itu sendiri tidak begitu dekat dengan diri penulis jika hendak dibandingkan dengan watak adiwira yang lain. 

Pun begitu, penulis harus akui bahawa filem pertama Thor yang diarahkan oleh bekas calon Oscar, Sir Kenneth Branagh berada dalam kelas tersendiri dan memiliki sentuhan yang diperlukan untuk menghidupkan dunia Thor ke layar perak. 

Namun, filem susulannya, Thor: The Dark World (2013) arahan Alan Taylor pula dilihat tidak mampu menyaingi filem pertamanya menyebabkan ia mendapat kritikan dan ulasan pelbagai baik daripada pengkritik mahupun peminat.

Kemunculan bekas pemenang Oscar, Cate Blanchett sebagai dewi kematian bernama Hela memang meninggalkan impak.

Walaupun Thor: The Dark World dianggap sukses di gelanggang pecah panggung dengan mencatatkan AS$644.6 juta (RM2.72 billion) di seluruh dunia, namun, ia masih dianggap sebagai filem Thor yang kurang digemari. 

Sehubungan itu, apabila Marvel Studios mengumumkan untuk meneruskan legasi Thor ke layar perak dengan filem ketiganya, Thor: Ragnarok, ramai yang teruja menantikan hasilnya. 

Sementelah, kerusi pengarah Thor: Ragnarok diambil alih oleh pengarah kelahiran New Zealand yang masih dianggap hijau dalam pengarahan filem cereka di Hollywood, Taika Waititi yang sememangnya satu risiko besar diambil oleh Marvel Studios. 

Ditambah pula, bekas pemenang Oscar sebanyak dua kali, Cate Blanchett turut membintangi Thor: Ragnarok dengan memegang watak antagonis cukup mengujakan penulis sebagai peminat tegar aktres kelahiran Australia itu.

Ternyata, segala pelaburan dan risiko tersebut memberikan hasil yang cukup positif apabila Thor: Ragnarok berjaya meneruskan legasi watak adiwira tersebut dari sudut pandang yang berbeza.

Thor (dua dari kiri) bergabung tenaga bersama Hulk (kiri), Valkyrie (dua dari kanan) dan Loki memerangi Hela.

Sememangnya penghasilan Thor: Ragnarok  di mana lakon layarnya tulisan Craig Kyle, Eric Pearson dan Christopher Yost tidak seperti dua filem Thor sebelum ini yang terarah kepada sentuhan serius apabila ia lebih santai dan memiliki unsur humor yang tinggi. 

Tidak syak lagi, Marvel Studios mahu melihat Thor: Ragnarok bukan sebuah karya serius dalam usaha untuk menarik perhatian peminat terutama dari golongan remaja yang lebih meminati karya sedemikian sesuai dengan usia mereka. 

Usaha mereka itu berjaya apabila perjalanan filem yang memakan masa lebih dua jam itu tidak meresahkan malah, setiap momennya ada impak tersendiri lalu menjadikan Thor: Ragnarok sebagai sebuah santapan yang cukup rasa manisnya untuk diingati. 

Bahkan, watak Thor (lakonan Chris Hemsworth) juga lebih dekat kepada audiens dengan humor yang disuntik ke dalamnya. Penulis cukup sukakan setiap momen Thor bersama Hulk dan alter egonya, Bruce Banner (Mark Ruffalo) yang menyerlahkan keserasian mereka.

Salah satu babak Thor (Chris Hemsworth) bersama Valkyrie (Tessa Thompson) dalam filem Thor: Ragnarok.

Apatah lagi, inilah kali pertama penonton melihat Hulk berbicara yang menjadikan watak itu kelihatan cukup comel dan mesra kepada penonton. Hal yang sama juga dapat dilihat menerusi watak makhluk berbatu, Korg yang dilakonkan oleh Waititi sendiri.

Entah mengapa, ketika menonton babak-babak tertentu dengan permainan warna serta runut bunyi yang catchy itu membuatkan penonton pantas teringatkan dua filem Guardians of the Galaxy yang juga terbitan Marvel Studios. 

Akan tetapi, penulis seperti tidak puas menonton watak Hela (Blanchett) yang berjaya mencuri perhatian setiap kali beliau muncul di layar. Karisma dan personanya sebagai Hela cukup menyerlah dan meyakinkan lalu membuatkan dia adalah pilihan tepat sebagai Hela. 

Mungkin ada beranggapan aktres hebat seperti Blanchett tidak sepatutnya muncul dalam filem komersial seperti Thor: Ragnarok, tetapi, aktres itu membuktikan kemunculannya berbaloi dan meninggalkan impak. 

Babak antara Thor dan Hulk yang meninggalkan momen manis untuk audiens.

Dari sudut pandang lain pula, naratif filem ini biarpun secara kasarnya dilihat sebagai santai dan layak digelar popcorn movie, ia masih memiliki maksud tersirat yang cukup jelas terutama membabitkan tentang kuasa dan jiwa sejati seorang pemerintah. 

Bukan itu sahaja, watak Skurge (Karl Urban) itu juga mempunyai metaforanya tersendiri yang mampu membuatkan kita berfikir sejenak seandainya kita berada di dalam kedudukannya. 

Secara keseluruhannya, Thor: Ragnarok berjaya dari pelbagai aspek. Tidak hanya sebuah filem komersial semata-mata tetapi intipatinya juga cukup kuat seiring dengan kuasa Thor sebagai dewa guruh.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain