suria

‘Pak Pong’ Miliki Idea Menarik Tapi Tiada Arah Tujuan

Pak Pong arahan Fauzi Nawawi berada di pawagam sejak 23 Februari lalu.

FILEM: Pak Pong

PENGARAH: Fauzi Nawawi

PELAKON: Hairul Azreen, Siti Saleha, Fauzi Nawawi, Izreen Azminda, Badrolshah dan Datuk Eizlan Yusof

GENRE: Fantasi/Drama

DURASI: 110 minit

PENGEDAR: 9 Country Creativity Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 23 Februari 2017

PENULIS hilang kata-kata sebaik sahaja menonton filem sulung arahan pelakon berkarakter, Fauzi Nawawi berjudul Pak Pong semalam sementara ia masih lagi ditayangkan di pawagam tempatan.

Hilangnya kata-kata itu bukanlah kerana kagum dengan penghasilan filem ini tetapi sebaliknya. Dalam erti kata lain, penulis mengalami mental block atau kebuntuan mental untuk mengulas filem Pak Pong.

Apa yang penulis ulaskan ini adalah sejujur yang termampu demi untuk melihat filem tempatan terus diperbaiki dan mampu ke hadapan dalam memberikan kepelbagaian kepada penonton agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Pertamanya, penulis sifatkan Pak Pong memiliki idea yang menarik. Dengan mengenengahkan genre fantasi dengan disulami dengan elemen drama dan komedi, Pak Pong boleh dikatakan memberikan variasi kepada khalayak di sebalik lambakan genre komedi dan seram sedia ada di pasaran.

Biarpun genre seperti ini tidaklah baharu kerana pernah dihasilkan oleh Afdlin Shauki menerusi filem Pontianak vs Orang Minyak (2012) dan Misteri Jalan Lama (2011) yang berlegar kepada kisah orang bunian dan karakter dalam legenda seram tempatan, tetapi Pak Pong dalam acuannya sendiri.

Bahkan, penulis ada juga mendapat maklum balas daripada mereka yang menontonnya yang mengatakan Pak Pong seolah-olah mahu cuba menjadi seperti filem Magika (2010) tetapi ternyata ia tidak memiliki persamaan langsung.

Pengarah Pak Pong, Fauzi Nawawi.

Sejujurnya, penulis harus akui ada segelintir karyawan tempatan memiliki idea yang menarik dan bernas untuk menjadikan ia sebagai sebuah filem tetapi kesilapan besar adalah kelemahan lakon layar dan ceritanya.

Begitu juga dengan Pak Pong, kelemahan ceritanya cukup ketara sehingga penulis sendiri keliru apakah sebenarnya yang mahu ditonjolkan sebagai plot utamanya.

Apakah fokus utamanya kepada watak Muda (lakonan Hairul Azreen) ataupun si kerdil, Kadek (Badrolshah) dalam menepati tajuk filem itu sendiri?

Jika tidak silap penulis daripada apa yang dibaca tentang Pak Pong, ia adalah kisah tentang kitab pengasih dan pemujaan untuk memiliki apa yang diingini namun dengan cara yang salah yakni secara ilmu hitam.

Penulis tidak mahu mengulas lanjut tentang perkara itu tetapi seandainya itu (kitab Pak Pong) menjadi fokus utama, mengapa tidak menjadikan ia sebagai titik tumpuan untuk filem Pak Pong.

Apakah pula kaitannya dengan watak Muda itu yang memasuki ke alam bunian secara tiba-tiba sewaktu menjerat ayam hutam disebabkan keinginan isterinya, Seri (Marsha Milan) yang baru dua bulan mengandung?

Sedangkan, yang memuja kitab Pak Pong itu adalah Kadek dan bukannya Muda untuk dia diterima masuk ke alam bunian. Disebabkan itu, penulis katakan filem Pak Pong ini mengelirukan dan tiada hala tuju yang tepat untuk mengembangkan ceritanya menjadi lebih menarik.

Dari sudut teknikal pula, Pak Pong terlalu banyak kelemahan terutama aspek suntingan dan sinematografi yang tidak mampu mengangkat karya ini ke tahap yang selayaknya.

Pelakon utama Pak Pong, Hairul Azreen.

Sama juga dengan teknik imej janaan komputer (CGI) yang sangat tidak memberangsangkan dan kelihatan seperti hasil kerja amatur.

Penulis tidak meletakkan harapan setinggi langit untuk karyawan tempatan hasilkan filem yang menggunakan teknik CGI yang gah dan hebat seperti filem Hollywood (kalau ada, itu sudah cukup baik) kerana faham dengan kemampuan yang ada dari aspek tenaga kerja, kreativiti dan kos.

Namun, untuk babak aksi, boleh diberi pujian dan nampak kesungguhan untuk menghidupkan babak-babak berkenaan.

Kelemahan lain yang cukup ketara adalah pertuturan dan penggunaan bahasa sewaktu di alam bunian yang menampakkan ketidak samaan apabila watak Raja Bunian (Eizlan Yusof) bertutur dalam bahasa harian manusia biasa sementara anaknya, Puteri (Siti Saleha) pula bercakap penuh santun dan berbahasa baku.

Mungkin ia disengajakan atau tidak, penulis tidak pasti memandangkan Pak Pong berada dalam lingkaran genre fantasi komedi dan mungkin itu adalah acuan filem ini untuk menjadikan ia berbeza dengan karya lain.

Mutu lakonan para pemain dalam filem ini secara keseluruhannya juga tidak ada apa yang boleh dibanggakan kerana rata-rata semuanya hanya sekadar memberikan aksi lakonan sederhana dan tidak meninggalkan impak.

Pun begitu, unsur humor dan komedi dalam Pak Pong sedikit sebanyak berjaya juga membuat penulis tersenyum walaupun hanya seketika.

Untuk Fauzi Nawawi, perjalanan anda masih panjang untuk menjadi seorang pengarah filem. Seandainya ada rezeki untuk anda menghasilkan filem susulan Pak Pong, fikir semasak-masaknya untuk memperbaiki apa yang sepatutnya untuk menjadikan ia lebih baik daripada filem pertama.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Pak Pong

Artikel Lain