suria

‘The Girl On The Train’ Tersasar Dari Landasan

Emily Blunt memberikan dimensi lakonan yang berbeza sebagai Rachel Watson dalam filem 'The Girl On The Train'.
FILEM: The Girl On The Train

PENGARAH:
Tate Taylor

PELAKON:
Emily Blunt, Justin Theroux, Haley Bennett, Rebecca Ferguson, Allison Janney dan Luke Evans

GENRE:
Drama/Thriller

DURASI:
112 minit

PENGEDAR:
United International Pictures

TARIKH TAYANGAN:
3 Oktober 2016

MENONTON sedutan filem ini beberapa bulan sebelum tayangannya di pawagam telah meninggalkan tanda tanya buat penulis apakah The Girl On The Train bakal menjadi sebuah filem thriller terbaik untuk 2016.

Sementelah, ia diadaptasi daripada novel terlaris dengan judul serupa tulisan Paula Hawkins selain dikatakan memiliki elemen dan pendekatan yang hampir serupa dengan filem Gone Girl (2014) yang mengambil tema psychological thriller.

Ditambah pula, The Girl On The Train mempertaruhkan bakat aktres kelahiran London, Emily Blunt yang mendapat pujian pengkritik dan wartawan filem yang menyifatkan lakonannya itu antara yang terbaik dalam kariernya.

Malah, Blunt yang sebelum ini cukup dikenali menerusi filem The Devil Wears Prada (2006) juga diramal antara calon yang mampu membolosi senarai pencalonan dalam anugerah utama untuk musim anugerah tidak lama lagi sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Justeru, dengan faktor yang disebutkan itu telah membuatkan perasaan yang meluap-luap buat penulis untuk menonton The Girl On The Train di pawagam dengan meletakkan harapan ia akan memberikan kepuasan maksimum seperti mana Gone Girl yang penulis sifatkan sebagai filem yang bijak.

Filem The Girl On The Train turut mempertaruhkan aktres yang semakin meningkat naik, Rebecca Ferguson.

Namun, sepanjang menonton filem arahan Tate Taylor (The Help, 2011) penulis tidak mengalami momentun turun naik yang sepatutnya dirasai apabila menonton genre psychological thriller.

Memang tidak adil dan tidak wajar juga apabila cuba hendak membandingkan The Girl On The Train dan Gone Girl.

Tetapi, apabila memperkatakan dari segi konteks filem dan sebagai penonton yang menonton The Girl On The Train sebagai sebuah filem tanpa membaca novelnya terlebih dahulu, ia boleh dikatakan sebagai sebuah filem yang mendatar dan tidak cukup kuat selaku sebuah filem psychological thriller.

Seharusnya, sebagai sebuah filem yang tergolong dalam genre tersebut, The Girl On The Train mampu untuk menjadi sebuah naskhah yang hebat sementelah tidak dinafikan ia mempunyai premis yang bagus dan dalam acuannya sendiri.

Penulis berpendapat seharusnya penulis novel ini diberikan tanggungjawab untuk menulis lakon layar seperti mana Gillian Flynn lakukan untuk filem Gone Girl yang diadaptasi daripada novel tulisannya sendiri.

Babak konfrontasi antara Rachel Watson (Emily Blunt) dan bekas suaminya, Tom (Justin Theroux).

Di sebalik itu, apa yang penulis suka tentang The Girl On The Train apabila ia masih mampu membuat penonton berfikir tentang masalah dan misteri yang berlaku. Dalam erti kata lain, ia tidak mengambil jalan mudah untuk mencipta dan kemudiannya menyelesaikan misteri dengan mudah.

Sehinggakan kebijaksanaan The Girl On The Train itu membuatkan penulis mempunyai pendekatan yang lain dengan menyangka bahawa watak utamanya, Rachel Watson (lakonan Emily Blunt) itu sebenarnya adalah watak untuk ketiga-tiga wanita dalam nakshah ini.

Dua watak wanita lain yang dimaksudkan itu ialah Megan Hipwell (Haley Bennett) dan Anna Watson (Rebecca Ferguson) yang sebenarnya mempunyai masalah tersendiri dalam kehidupan mereka di mana ketiga-tiganya saling berkaitan sehingga membawa kepada satu titik pertemuan yang menyatukan mereka.

Semuanya kerana Watson memiliki masalah ketagihan arak yang teruk sehingga dia sendiri tidak tahu membezakan antara dunia realiti dan halusinasi biarpun dia tahu ada momen yang dilalui sebenarnya adalah jawapan kepada misteri yang dihadapinya.

Di sinilah terletaknya kehebatan genre psychological thriller yang bukan hanya sukar untuk dihasilkan tetapi ia juga sebenarnya menguji minda penonton untuk bermain teka-teki sepanjang filem diputarkan.

Kehadiran bekas pemenang anugerah Emmy sebanyak tujuh kali, Allison Janney dilihat tidak lebih hanya sekadar penyeri.

Namun, sangkaan itu mula meleset apabila satu persatu misteri mula dirungkaikan dan perkara yang berbeza pula berlaku sebaliknya. Pastinya, penulis tidak mahu menyatakan apa yang berlaku sebenarnya kerana tidak mahu mencipta spoiler (melainkan untuk mereka yang sudah menonton filem ini dan membaca novelnya).

Dari segi lakonan, memang tidak dinafikan Blunt memberikan dimensi lakonan yang berbeza dengan apa yang pernah ditonton sebelum ini. Tetapi, bagi penulis lakonannya itu belum mencapai tahap yang boleh diiktiraf dengan Oscar.

Selepas menonton The Girl On The Train, secara tiba-tiba fikiran penulis melayang memikirkan kehebatan salah sebuah filem psychological thriller terbaik yang pernah dihasilkan dan menjadi kegemaran penulis, Fatal Attraction (1987) lalu berkata mengapa tiada lagi filem sedemikian dihasilkan yang membawa tema genre berkenaan dengan sempurna.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

The Girl On The Train

Artikel Lain