suria

Nilai Kasih Sayang Dalam 'OlaBola'

OlaBola bukan sekadar naskah tentang semangat kesukanan tetapi ia mempunyai banyak maksud tersurat dan tersirat.

FILEM: OlaBola

PENGARAH: Chiu Keng Guan

PELAKON: Bront Palarae, JC Chee, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen.

GENRE: Drama

DURASI: 90 Minit

PENGEDAR: Astro Shaw

TARIKH TAYANGAN: 28 Januari 2016

KEDENGARAN
 kata-kata sinikal daripada penonton apabila pengacara majlis memberitahu pihak penganjur ada menyediakan tisu sekiranya tidak dapat menahan kesedihan sebelum tayangan perdana filem OlaBola berlangsung baru-baru ini.

Malah penulis sendiri tersenyum sinis kerana menganggap ia hanya gurauan semata-mata daripada pengacara majlis bagi menghidupkan suasana majlis pada petang itu.

Bagaimanapun dia tidak salah kerana penulis memang teraba-raba mencari tisu dimaksudkan pada penghujung filem dan tidak menyangka naskhah yang mengangkat tema semangat kesukanan bola sepak itu benar-benar menyentuh perasaan.

Titisan air mata itu bukan sahaja kerana OlaBola yang meruntun jiwa tetapi rasa bangga dapat melihat semua rakyat Malaysia bersorak bersama bukan sahaja di layar besar tetapi di dalam pawagam.

Sepanjang menghadiri tayangan perdana filem tempatan, jarang sekali dapat melihat kesemua bangsa Malaysia berkumpul dalam satu dewan dan melihat masing-masing menghayati cerita di skrin dan mengalirkan air mata.

Antara babak menarik dalam OlaBOla.

Ia bukan sekadar sebuah filem tentang bola sepak semata-mata tetapi Chiu melangkah semua jangkaan yang boleh difikir tentang filem berkenaan.

Chiu tidak hanya mengangkat tema kesukanan dan patriotik dalam ramuanOlaBola tetapi terdapat pelbagai maksud tersurat dan tersirat diselitkan dalam karyanya itu.

Kemunculan filem ini tepat pada masanya dengan pelbagai isu melanda negara ketika ini, ia mampu membuatkan penonton terfikir sejenak bahawa masih ada harapan untuk semua berfikir kembali tentang penyatuan semua bangsa di atas satu nama iaitu Malaysia.

Ini yang OlaBola mampu lakukan kepada penonton - bukan sahaja menghiburkan tetapi memberi sesuatu dan membuat kita berfikir dalam keadaan tidak terjangka iaitu menerusi sebuah filem dengan tema cukup dekat dengan masyarakat di negara ini.

Kepelbagaian bangsa dalam karya itu membuatkan kita sebagai rakyat negara ini berasa istimewa malah mungkin ada yang telah lupa bagiamana rasanya menjadi bangsa Malaysia.

Bront Palarae dengan gaya tersendiri menzahirkan watak sebagai Rahman.

Tiada provokatif tetapi Chiu menggunakan medium filem untuk membangkitkan rasa kasih sayang dan kecintaan bukan sahaja terhadap negara tetapi sesama masyarakat berbilang bangsa.

Mesej berkenaan kena dengan masanya kerana semangat itu semakin tipis di antara kita dan kerana itu Chiu berjaya menyentakkan jiwa penonton dalam lapisan-lapisan cuba disampaikan kepada penonton.

Setiap watak diselitkan dengan pergelutan tersendiri dalam kehidupan mereka yang pada akhirnya mengajar bahawa kita semua sama tanpa perlu membezakan warna kulit, bangsa dan agama.

Jika dilihat pada trend penghasilan filem di negara ini, tidak ramai pengarah berani tampil dengan filem berunsurkan sejarah atau mengangkat tema patriotik kerana realitinya ia kurang mendapat perhatian penonton.

Entah mana silapnya, karya-karya hebat seperti Tanda Putera, Hati Malaya, Paloh dan Leftenan Adnan gagal mendapat tempat meskipun ia antara filem terbaik pernah dihasilkan.

Sinematografi menarik dalam OlaBola.

Chiu sebagai pengarah menggalas tanggungjawab dan beban berat apabila mengambil keputusan untuk mengarahkan OlaBola - sebuah karya mengambil inspirasi daripada kegemilangan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Keputusan Chiu hanya mengambil inspirasi dan menambah idea kepada jalan ceritanya tindakan bijak kerana ia memberi lebih rasa kepada filem berkenaan.

Permainan emosi secara tersirat dalam menzahirkan semangat patriotisme juga disulam dengan baik malah Chiu berjaya menerbitkan perasaan sayu dan mengingatkan keistimewaan kita sebagai rakyat Malaysia berbilang kaum.

Ia mungkin berteraskan tentang sukan bola sepak namun OlaBola bukan semata-mata mengenai perkara itu dan penonton tidak perlu menjadi peminat sukan berkenaan untuk merasai keistimewaan karya berkenaan.

OlaBola mengisahkan seorang wartawan ditugaskan untuk membuat kajian tentang pasukan bola sepak negara yang telah mencipta nama pada era 80-an ketika nama Malaysia digeruni oleh pasukan lawan khasnya di rantau Asia.

Semangat patriotik sarat dalam naskah terbaharu Chiu.

Mengimbau kembali ketika di awal era 80-an, pasukan bola sepak negara ketika itu berdepan dengan cabaran di mana pemain-pemainnya mempunyai perbezaan pendapat dan tidak sehaluan sehingga menyebabkan kekalahan dalam perlawanan penting.

Keadaan semakin rumit apabila hampir setiap pemain mempunyai isu dan masalah masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka hanya mempunyai satu peluang untuk beraksi di persada mata dunia.

Dalam pada itu, Chiu bukan sahaja berjaya melaksanakan jalan cerita OlaBola malah gambaran suasana masyarakat pada era 80-an dibuat dengan baik.

Malah sinematografi dan pemilihan lokasi cukup mengagumkan dalam memberi tambah nilai kepada jalan cerita ditampilkan selain skor muzik menggagumkan.

Sementara itu, biarpun OlaBola banyak menampilkan wajah-wajah baharu sebagai menghiasi filem ini namun mereka berjaya menzahirkan watak diberikan dengan cemerlang.

Pelakon utama Saran Kumar, JC Chee dan Muhd Luqman Hafidz mempunyai potensi besar dalam bidang lakonan.

Jelas dapat dilihat banyak latihan dan usaha dicurahkan oleh mereka semua dalam menjayakan visi pengarah dalam naskah berkenaan - paling penting mereka jujur dalam menzahirkan peranan masing-masing.

Jika terus diberi peluang pada masa hadapan nama seperti JC Chee, Muhd Luqman Hafidz dan Saran Kumar akan terus menyinar sebagai antara aktor terbaik di negara ini.

Masyarakat perlu mengambil peluang untuk menonton naskah ini dan merasai sendiri kesan selepas menonton naskhah berkenaan dan penulis boleh memberi jaminan bahawa anda tidak akan menyesal.

Sekiranya filem ini gagal meraih kutipan cemerlang atau pun penghargaan dan pengiktirafan anugerah sekalipun - ia telah pun memenangi hati penonton dengan sentuhan magis Chiu.

Dalam pada Astro Shaw dalam satu kenyataannya pada Isnin memaklumkan filem ini berjaya mengutip RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan.

Ia juga turut menjadi trending di laman Twitter sebanyak enam kali.

Artikel Lain