suria

Kisah Penggambaran Luar Biasa Dalam 'Rio 2'

FILEM: Rio 2

PENGARAH: Carlos Saldanha

PELAKON: Anne Hathaway, George Lopez, Jamie Foxx, Jemaine Clement, Jesse Eisenberg, Leslie Mann, will.i.am.

DURASI: 100 minit

GENRE: Animasi/Drama/Komedi

TERBITAN: 20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 10 April 2014

Rio 2 arahan Carlos Saldanha mula ditayangkan di pawagam pada 10 April 2014.

KETERUJAAN untuk menonton Rio 2 arahan Carlos Saldanha bermula sebaik sahaja filem itu membuka tirai dengan paparan sambutan malam tahun baharu berlatarkan kemeriahan di Rio de Janeiro yang penuh warna-warni.

Keajaiban teknik grafik dan 3D yang ditampilkan pengarah berjaya membuatkan penonton terpaku dan ia cukup menghidupkan filem animasi yang menampilkan suara pelakon terkenal seperti Anne Hathaway, George Lopez, Jamie Foxx, Jemaine Clement, Jesse Eisenberg, Leslie Mann dan will.i.am.

Rio 2
bukan sahaja berjaya menggambarkan apa yang boleh dilakukan oleh teknologi tetapi ia turut memberi rasa dan nilai artistik terhadap karya tersebut.

Malah skor muzik yang ditampilkan oleh komposer John Powell dengan seleksi lagu menarik memberikan keceriaan kepada filem ini.

Penyanyi Bruno Mars, Janelle Monae dan pemuzik terkenal Brazil, Carlinhos Brown  menyumbangkan suara pada skor muzik Rio 2  dan paling menarik Anne Hathaway turut menggunakan suaranya  menerusi beberapa buah lagu seperti I Will Survive dan The Little Mermaid.

Mengangkat kisah mengenai dua ekor burung kakak tua bernama Blu (Jesse Eisenberg ) dan Jewel (Anne Hathaway) yang hidup di bandar besar, Carlos menerusi sekual ini memanipulasi watak-wtak yang diciptanya dengan lebih menarik.

Blu dan Jewel membawa tiga anak-anaknya untuk kembali ke hutan Amazon.

Gambaran burung hidup dengan alatan seperti iPod, GPS dan memakan lempeng sebagai sarapan membuatkan permulaan cerita itu kukuh dan menghiburkan malah pengarah turut menggambarkan anak-anak Blu dan Jewel sebagai burung bandar yang tidak mengetahui survival hidup di dalam hutan mengembangkan lagi kisah daripada episod pertamanya.

Kisah Rio 2  bermula apabila Jewel mencadangkan untuk kembali ke hutan Amazon, tempat tinggal asal mereka namun ditentang oleh Blu. Perjalanan mereka ke hutan Amazon turut disertai oleh beberapa kenalan mereka iaitu Frisky Toucan (George Lopez), Nico (Jamie Foxx) dan Pedro (Will.i.am) yang ingin merasai kehidupan di alam liar.

Setibanya mereka di hutan Amazon, Jewel sedih apabila bapanya tidak menyukai Blu yang disifatkan sebagai lupa diri dan tidak mengetahui selok belok kehidupan di dalam hutan.

Semenjak tiba di Amazon kehidupan keluarga itu mula berubah dan bapa Jewel mula menyukai Blu yang bijak mengambil hati lelaki itu.

Disebalik kecanggihan teknik grafik dan 3D yang ditampilkan dalam Rio 2, Carlos terlalu mencuba untuk memasukkan semua plot yang mampu difikirkannya dalam sebuah filem yang hanya berdurasi 90 minit.

Biarpun plot dan sub-plot disusun kemas mengikut perjalanan cerita namun ia membuatkan konsentrasi penonton terganggu apabila terpaksa memberi perhatian kepada pelbagai perkara yang ditimbulkan pengarahnya.



Rio 2 mungkin lebih menarik dan kemas sekiranya pengarah menfokuskan kepada perjalanan keluarga Blu ke hutan Amazon dengan mengembangkan pelbagai kisah dan kejadian menarik.

Carlos sebaliknya lebih senang dengan pelbagai plot seperti pencerobohan haram hutan Amazon malah turut memasukkan kisah mengenai dua saintis yang sedang membuat kajian tentang kehidupan di kawasan berkenaan.

Itu tidak termasuk pergaduhan Blu dengan Jermaine Clement iaitu kekasih lama isterinya selain permusuhan dengan sekumpulan burung kakak tua merah di Amazon.

Pada pandangan penulis, Rio 2 akan lebih bermakna sekiranya pengalaman anak-anak Blu dan Jewel di hutan Amazon dikembangkan memandangkan mereka sudah terbiasa kehidupan di bandar.

Jalan cerita tersebut mungkin boleh menjadi bertambah menarik terutamanya kepada penonton kanak-kanak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain