suria

Tidak Kecewa Tonton 'Kecoh! Hantu Raya Tok Chai'

FILEM: Kecoh! Hantu Raya Tok Chai

ARAHAN: Opie Zami

PELAKON: Saiful Apek, Intan Ladyana, Azrul Raja Lawak, Kuswadinata dan Sobri Anuar

GENRE: Komedi Seram

DURASI: 1 jam 30 minit

PENERBIT: Ram Entertainment

TAYANGAN: 18 April 2013

FILEM pertama arahan pelakon Opie Zami merupakan filem komedi ringan yang sesuai untuk tuntutan umum.

Karya ini tidak memerlukan kita banyak berfikir dan kerana ia dihasilkan untuk menyampaikan mesej mudah dengan menyelitkan unsur-unsur humor yang mampu menghiburkan penonton.

Berdasarkan kepada elemen seram yang cuba ditonjolkan, secara keseluruhannya filem ini berjaya digarap oleh pengarah muda ini namun masih banyak perlu diperbaiki lagi.

Apa yang menjadi kekeliruan apabila babak demi babak yang cuba diterjemahkan oleh Opie terlalu panjang sehingga membuatkan penonton bosan.

Kecoh! Hantu Raya Tok Chai mengisahkan seorang penduduk kampung yang dipanggil Tok Chai meninggal dunia, namun ketika orang kampung datang untuk mengebumikan jenazah pelbagai halangan datang.

Hantu raya yang dibela Tok Chai cuba menghalang urusan pengebumian jenazah dan mengganggu penduduk kampung tersebut.

Bagaimanapun, kehadiran seorang imam lakonan terakhir Allahyarham Kuswadinata memudahkan urusan penyempurnaan jenazah.

Dalam usaha pengebumian itu pelbagai rintangan yang dilalui sepanjang malam. Kejadian seram dan lucu yang ditonjolkan dalam filem ini menjadi pengubat kepada kebosanan penonton terhadap leretan babak.

Filem ini boleh diklasifikasikan filem yang boleh ditonton dan tidak mengecewakan terutamanya kepada penyokong karya tempatan.

Dalam pada itu babak percintaan turut diselitkan iaitu hubungan antara Saiful Apek dan Intan Ladyana yang bersatu semula selepas mendapat tentangan keluarga.

Filem yang bercerita kisah satu malam ini turut dibintangi oleh Baby Erin, Sathia, Azrul Raja Lawak, Kuswadinata, Amir Raja Lawak, Sobri Anuar, Bokhari dan ramai lagi.

Ia ditayangkan seluruh negara bermula 18 April 2013.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain