suria

CGI Kaburi Aksi 'Transformers'

Shia LaBeouf masih lagi dikekalkan sebagai hero bernama Sam Witwicky dalam siri ketiga francais Transformers ini.
Shia LaBeouf masih lagi dikekalkan sebagai hero bernama Sam Witwicky dalam siri ketiga francais Transformers ini.
Shia LaBeouf masih lagi dikekalkan sebagai hero bernama Sam Witwicky dalam siri ketiga francais Transformers ini.

FILEM: Transformers: Dark of the Moon

ARAHAN: Michael Bay

LAKONAN: Shia LaBeouf, Tyrese Gibson, Josh Duhamel, John Malkovich, Patrick Dempsey, Frances McDormand, Rosie Huntington-Whiteley

GENRE: Aksi, pengembaraan, fiksyen sains

DURASI: 2 jam 32 minit

EDARAN: United International Pictures

TAYANGAN: Bermula 29 Jun 2011

KALAULAH bukan kerana kehebatan aksi dan teknologi janaan imej berkomputer (CGI) yang menyaluti kemas siri ketiga francais filem Transformers ini, pastinya Transformers: Dark of the Moon (TDOTM) tidak ubah seperti siri keduanya Transformers: Revenge of the Fallen (2009) yang dikategorikan sebagai siri terburuk dalam francais itu.

Keterujaan filem ini memang tidak boleh disangkal. Ia bagaikan satu perjalanan roller coaster yang penuh turun dan naik.

Selain aspek teknologi yang memukau, syot dan naratif filem ini juga bergerak pantas seolah tidak mengizinkan penonton menghela nafas.

Dilengkapi pula dengan format visual dan bunyi tiga dimensi (3D), nilai hiburan filem ini memang terpuji.

Jelas sekali kekuatan siri ketiga ini tergantung pada tarikan babak-babak aksi dan pertarungan yang silih berganti di dalam filem ini.

Umumnya, TDOTM memang menghiburkan cuma ia dicelarukan oleh penceritaan yang longgar dan tiada tujuan.

Semua ini bertitik-tolak daripada ketaksuban produksi pimpinan pengarah Michael Bay terhadap aplikasi teknologi berbanding sebuah penceritaan yang utuh.

Namun, tidak dinafikan sepanjang durasi 2 jam 32 minit itu, keghairahan Bay dalam mengetengahkan pelbagai babak cemas dan pertarungan, baik antara manusia atau robot menyesakkan nafas juga.

Selain aksi cukup teruja daripada segerombolan robot baik dan jahat, aspek lakonan yang masih lagi ditunjangi Shia LaBeouf (Eagle Eye, Disturbia) buat kali ketiga selaku Sam Witwicky tetap menghidupkan perjalanan TDOTM.

Kekuatan LaBeouf semestinya bersandar pada seribu satu gestur tubuh yang lincah, pantas dan kelam-kabut, selain kawalan emosi dan permainan imaginasi yang baik khasnya pada babak-babak yang berlatarkan CGI.

Bergandingan dengan LaBeouf, model British, Rosie Huntington-Whiteley yang menjadi dalang ganti kepada aktres seksi Megan Fox untuk dua siri sebelum ini tidaklah sehebat mana.

Selain membenarkan dirinya dieksploitasi semaksimum mungkin menerusi penonjolan tubuh yang menggiurkan, kehadiran Huntington-Whiteley sebagai Carly Spencer tidak lebih daripada umpan untuk memancing perhatian.

Begitu juga dengan aksi sederhana pelakon-pelakon lain yang masih dikekalkan seperti Tyrese Gibson sebagai Epps dan Josh Duhamel (Lennox).

Ironinya, kelibat pelakon-pelakon pembantu yang julung kali dibawa ke francais ini iaitu John Malkovich (Con Air, Changeling) sebagai Bruce Brazos dan Frances McDormand (Fargo, Burn After Reading) sebagai Mearing dilihat lebih menonjol.

Secara kolektifnya, TDOTM boleh diibaratkan seperti terjerat dalam perangkapnya sendiri.

Dalam keterujaan produksi ini untuk menghasilkan filem yang gah pada jenama dan teknologi, mereka sudah terlepas pandang prinsip asas sesebuah filem iaitu plot dan skrip yang baik.

TDOTM berkisar pada peperangan antara puak robot baik iaitu Autobot dan robot jahat Decepticon dalam misi untuk mengenalpasti rahsia tersembunyi dalam sebuah kapal angkasa dari planet Cybertron yang tersadai di bulan.

Di bumi pula, Sam Witwicky (Shia LaBeouf) yang baru tamat pengajian di universiti mula menempuhi alam pekerjaan. Selepas beberapa kali gagal, Sam akhirnya mendapat pekerjaan di sebuah firma kejuruteraan yang dipimpin Bruce Brazos (John Malkovich).

Namun, Sam sekali lagi terpanggil untuk membantu puak Autobot yang diketuai Optimus Prime (suara oleh Peter Cullen) menentang ancaman Megatron (Hugo Weaving) bersama bala tenteranya Decepticon dalam konflik terbaru ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain