suria

Jolie-Depp Gagal Serlahkan 'The Tourist'

Sayang, karisma dua bintang hebat Angelina Jolie dan Johnny Depp gagal menyerlahkan kesuraman filem ini.
Sayang, karisma dua bintang hebat Angelina Jolie dan Johnny Depp gagal menyerlahkan kesuraman filem ini.
Sayang, karisma dua bintang hebat Angelina Jolie dan Johnny Depp gagal menyerlahkan kesuraman filem ini.

JIKA dinilai secara kasar, idea untuk menyatukan dua bintang besar Hollywood, Angelina Jolie dan Johnny Depp pasti menjanjikan penghasilan sebuah filem yang hebat dan istimewa.

Namun, fakta itu hanya indah di permukaan. Pada dasarnya, gandingan Jolie dan Depp dalam filem berjalur drama dan aksi iaitu The Tourist (TT) ini hanyalah umpan murah yang gagal menyerlahkan kesuraman naskhah itu.

Mungkin kenyataan itu paling tepat untuk menyimpulkan filem pembikinan semula yang diilhamkan daripada filem Perancis berjudul Anthony Zimmer ini.

Menyelami perjalanan filem ini, memang jelas pengisian TT yang berlegar dengan elemen aksi, debaran dan kejar-mengejar ini cuba disampaikan dalam bentuk yang ringan dan santai.

Bagaimanapun, olahan ceritanya dilihat tidak memberangsangkan, sekali gus mengundang penceritaan yang hambar, meleret dan mudah diduga.

Jika mahu disenaraikan satu persatu kepincangan itu, mungkin tiada apa yang positif boleh dibekalkan kepada penonton untuk menyaksikan filem arahan Florian Henckel von Donnersmarck ini.

Pengalaman menonton filem ini boleh diibaratkan seperti menonton filem aksi Melayu yang dibikin sedaya upaya untuk tampil seperti filem antarabangsa dan punya kelas tersendiri.

Malangnya, naratif yang divisualkan itu selayaknya dilabel sebagai filem aksi ngeri bergred C.

Filem terburuk

Barangkali, TT adalah filem terburuk dan paling canggung yang pernah dibintangi kedua-dua pelakon terkenal ini.

Sayang sekali, persembahan Jolie dan Depp yang pertama kali bersatu di dalam filem gagal mengundang keghairahan, malah, lebih merumitkan mata dan fikiran.

Ironinya, keserasian itu tidak kelihatan seperti sepasang kekasih, sebaliknya mereka bagai adik-beradik yang bekerjasama untuk menyelamatkan diri daripada menjadi buruan.

Elemen komedi spontan dan bersahaja yang diselitkan juga tidak berkesan.

Mujurlah, lokasi yang melatari filem ini di Paris, Perancis dan Venice, Itali mampu melonggarkan ketegangan yang perlu di kompromi sepanjang 1 jam 44 minit filem terpampang di layar.

Ringkasnya, TT berkisar pada Frank Tupelo (Johnny Depp), seorang pelancong Amerika yang berkunjung ke Eropah untuk mengubati kekecewaan hatinya.

Di sana, Frank telah bertembung dengan Elise (Angelina Jolie) dan terpikat dengan ciri-ciri luar biasa yang dimiliki oleh wanita itu.

Dalam keasyikan mereka memadu kasih, Frank tidak menyedari dirinya berada dalam bahaya kerana menjalin hubungan dengan wanita yang menjadi buruan polis dan penjahat.

Selain gandingan Jolie-Depp, filem yang menelan kos penerbitan sebanyak RM309.6 juta ini turut membariskan Paul Bettany, Timothy Dalton, Steven Berkoff dan Rufus Sewell.

The Tourist kini ditayangkan di pawagam bermula 30 Disember lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain