suria

“Pemandu bukannya hamba abdi” - Riduan enggan mohon maaf kepada Che Ta

Riduan tidak akan membuat permohonan maaf kepada Rozita Che Wan kerana merasakan tidak membuat sebarang kesalahan.

BEKAS pemandu Rozita Che Wan tidak berhasrat membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka seperti dituntut aktres itu berhubung insiden aktres itu  tidak membayar gajinya.

Muhamad Riduan, 21, berkata, selepas mendapat nasihat daripada pihak tertentu, dia dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian memandangkan apa yang berlaku bukan kesalahannya.

"Dia (Rozita) meminta saya untuk membuat pengakuan maaf secara terbuka yang akan diserahkan peguamnya untuk menyelesaikan perkara ini tetapi saya tidak akan berbuat demikian kerana ia bukan salah saya," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pemandu dedah tak dapat gaji… “Kau kerja macam taik, memandu sambil tidur!” kata Che Ta

ARTIKEL BERKAITAN: RM2,000 dah bayar dan bakal saman pemandu... Che Ta dedah nyawa dalam bahaya ketika ke Johor

Menerusi hantaran di Facebook, pemuda itu yang baharu sahaja bekerja selama dua bulan mendedahkan Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta enggan membayar gajinya sebanyak RM2,000.

Luahan Riduan di Facebook yang turut mendapat respons Che Ta.

Riduan turut memuat naik perbualan dengan pembantu peribadi Che Ta yang dikenali sebagai Kak Nani menerusi aplikasi WhatsApp bagi menuntut gajinya.

Dalam respons segera, pelakon Kiah Pekasam itu memberitahu sudah menjelaskan bayaran dituntut pada Khamis namun dia terkilan dengan sikap bekas pemandunya itu yang didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah bagi menjatuhkan reputasinya.

Ekoran itu, Che Ta meminta individu itu tampil memohon maaf selain sudah merujuk perkara itu kepada peguamnya.

Jangan pernah mencabar kuasa viral, siapa yang lagi kuat kerana itu yang akan memakan diri sendiri dan Allah itu maha Adil... Pihak yang benar pasti akan menang walaupun sesukar mana perkara itu.

MUHAMAD RIDUAN

BEKAS PEMANDU ROZITA CHE WAN

Dalam pada itu, Riduan dalam maklum balasnya kepada mStar Online pada Jumaat enggan mengulas mengenai semua dakwaan dilemparkan terhadapnya termasuklah dia gemar tidur kerana tidak mahu memanjangkan isu tersebut.

Ini kerana katanya, dia menganggap isu tersebut sudah pun selesai memandangkan pihak Rozita sudah melunaskan gaji tertunggaknya.

Riduan memberitahu apa yang terjadi kepadanya juga seharusnya dijadikan pengajaran kepada pihak majikan agar tidak mengambil kesempatan terhadap pekerja sesuka hati.

Che Ta sudah menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemandunya.

"Untuk peringatan majikan di mana-mana sahaja di luar sana, ambil apa yang terjadi pada saya ini sebagai pengajaran dan jangan ingat kami sebagai pemandu tiada maruah dan bukannya hamba abdi yang boleh dipergunakan sesuka hati tanpa kerelaan.

"Jangan pernah mencabar kuasa viral, siapa yang lagi kuat kerana itu yang akan memakan diri sendiri dan Allah itu maha Adil... Pihak yang benar pasti akan menang walaupun sesukar mana perkara itu," katanya.

Riduan bagaimanapun meminta agar netizen tidak mengecam Rozita di laman sosial memandangkan isu itu sudah pun diselesaikan di antara kedua-dua belah pihak.

"Di sini saya ingin meminta jasa baik semua untuk berhenti mengencam Che Ta kerana dia sudah menyelesaikan apa yang patut dia selesaikan," uijarnya.

Rozita Che Wan

Artikel Lain