suria

[VIDEO] “Siapa perlu pertolongan masalah Covid-19 atau vaksin, boleh DM saya” - Fizz Fairuz bantu tak pilih bulu, bukan saja Sherie Merlis

Sherie mengucapkan terima kasih kepada Fizz yang sudi membantunya.

SIMPATI dengan nasib Sherie Merlis yang terperangkap dalam sebuah rumah bersama adiknya yang positif Covid-19, pelakon Datuk Fizz Fairuz segera mendapatkan bantuan daripada sebuah klinik swasta.

Cerita Fizz, dia tidak sanggup membiarkan Sherie terus dibelenggu masalah itu selepas diberitahu isterinya iaitu Datin Almy Nadia.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO]Rayuan Sherie Merlis segera dapat perhatian, ahli keluarga positif Covid-19 jalani kuarantin di hotel Royale Chulan Kuala Lumpur

Selepas berjaya menghubungi Sherie, pemilik nama Fairuz Zainal Abidin itu terus meminta pertolongan Megaklinik Zahran untuk menguruskan keluarga atres tersebut.

Adik Sherie sekeluarga tiba di Royale Chulan Kuala Lumpur sekitar pukul 7.45 malam Ahad.

Sherie bersyukur rintihannya mendapat perhatian.

"Pagi semalam isteri saya beritahu Sherie perlukan pertolongan. Saya ini jenis tak boleh tengok orang susah. Tak kira artis atau sesiapa saja.

"Saya ada DM dan komen di IG Sherie tapi waktu itu tak ada respons. Jadi, saya hubungi rakan selebriti lain untuk dapatkan nombor dia.

"Dapat saja nombor, saya cuba hubungi Sherie sejak pagi... tengah hari baru dia jawab. Selesai bercakap dengan dia, saya hubungi pula Megaklinik Zahran.

"Rupa-rupanya pihak mereka pun cuba hubungi Sherie dan Alhamdulillah... semuanya dipermudahkan," kata Fizz ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Selesai bercakap dengan dia, saya terus hubungi Megaklinik Zahran.

FIZZ FAIRUZ

PELAKON

Terdahulu menerusi Instagram Live (IG Live) Sherie pada Isnin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Fizz yang membantunya dalam menyelesaikan masalah.

Menerusi laporan mStar, Sherie meluahkan rasa bimbang selepas adiknya yang positif virus itu diminta menjalani kuarantin di rumah yang didiami 11 orang termasuk dia sendiri.

Akhirnya rayuan dan luahan Sherie mendapat perhatian apabila adiknya yang disahkan positif Covid-19 ditawarkan untuk menjalani kuarantin di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, pelakon filem Munafik 2 ini memberitahu dia hanya membantu selagi yang mampu tidak tanpa mengira sesiapa.

"Saya tolong apa yang saya mampu... siapa saja, apa yang boleh saya tolong. Dalam keadaan sekarang ini, ramai struggle untuk hidup.

"Nak pergi perubatan swasta, kena berbayar. Tapi ada cara lain yang kita boleh bantu. Saya pun tak minta balasan apa-apa.

"Dah jadi tanggungjawab... Allah berikan kita peluang untuk tolong. Jadi, sesiapa yang memerlukan pertolongan melibatkan masalah Covid-19 atau vaksin, boleh DM saya," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain