suria

Pelakon kanak-kanak Puteri Rayyana Rayqa dan ibu positif Covid-19 - “Dia demam dua hari ketika di Scotland”

Rayqa bersama pelakon utama drama Demi iaitu Ben Amir dan Puteri Aisyah.

SELEPAS pelakon Puteri Aishah dan lima kru produksi termasuk pengarah drama Demi iaitu Rahila Alipelakon kanak-kanak Puteri Rayyana Rayqa serta ibunya juga disahkan positif Covid-19. 

Ibu kepada Puteri Rayyana Rayqa, 6, yang dikenali sebagai Syira memberitahu mereka kini berada di rumah sementara menunggu panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Aishah positif Covid-19 selepas pulang dari Scotland 31 Mac lalu

Menurut Syira lagi, dia enggan menuding jari kepada mana-mana pihak namun menganggap apa yang berlaku kepada mereka anak-beranak merupakan ujian daripada Allah. 

Rayqa bersama ibunya Syira.

"Saya dan Rayqa orang terakhir yang membuat ujian pada semalam (Rabu) di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya. Memang berharap sangat keputusan ujian itu negatif. 

"Tapi pagi tadi dapat panggilan daripada KKM mengesahkan kami berdua positif Covid-19. Sekarang ini, saya dan Rayqa masih di rumah menunggu panggilan seterusnya untuk dibawa ke hospital.

"Saya dah beritahu pihak hospital yang saya tak nak berpisah dengan anak saya. Kalau boleh, biarlah kami sama-sama kuarantin di bilik yang sama.

"Sebenarnya dalam hal ini, saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak sebab bagi saya, apa yang terjadi ini merupakan ujian daripada Allah untuk saya sekeluarga," kata Syira kepada mStar. 

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak sebab bagi saya, apa yang terjadi ini merupakan ujian daripada Allah.

SYIRA

IBU RAYQA

Menerusi laporan mStar pada Selasa, pengurus kepada Puteri Aishah iaitu Iman Tang memberitahu aktres itu disahkan positif Covid-19 selepas menerima panggilan daripada pihak hospital pada hari yang sama.

Selain Puteri Aishah, lima kru termasuk pengarah, penolong pengarah, jurukamera, kakitangan bahagian pakaian dan solekan turut disahkan positif wabak tersebut.

Syira dan anaknya antara 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Rayqa bersama kru produksi dan pengarah drama Demi Rahila.

Pelakon lain yang terbabit dalam drama terbitan Elisa Vision Sdn Bhd itu adalah  Ashraf Muslim, Ben Amir dan Hasnul Rahmat.

Dalam pada itu, Syira berkata, anaknya mengalami demam biasa selama dua hari ketika berada di Scotland namun selepas itu mereka berdua tidak mempunyai sebarang simptom wabak tersebut. 

Dia dan anaknya menjalani kuarantin seperti disarankan kerajaan sebaik sahaja pulang ke tanah air pada 31 Mac lalu. 

"Sebaik sahaja kami sampai di Malaysia, terus pulang ke rumah untuk jalani kuarantin. Sebelum itu, suami saya sudah berada di rumah ibu kami. Jadi, sepanjang kuarantin itu hanya ada saya dan Rayqa. 

"Sebenarnya Rayqa ada mengalami demam selama dua hari semasa berada di sana. Tapi hanya demam biasa. Pada ketika itu, saya fikir mungkin sebab keadaan cuaca sejuk menyebabkan dia tak sihat. 

"Buat masa sekarang, saya dan Rayqa dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang simptom. Apa-apa, saya mohon semua orang doa yang baik-baik untuk kami. 

"Saya juga berharap orang ramai janganlah memandangkan kami secara negatif. Tiada siapa yang mahu perkara ini terjadi," ujarnya.

Puteri Rayyana Rayqa

Artikel Lain