suria

“Tidak merdu... harmoni pun bersepah!” - Gandingan Kool dan Farawahida tidak 'mesra' punca tersingkir GV6

Gandingan Kool dan Farawahida gagal menyerlah.

NADA suara tidak merdu membuatkan kumpulan duo, Kool tersingkir daripada pentas Gegar Vaganza musim keenam (GV6) pada konsert keempat yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, Ahad.

Menurut juri tetapnya, Datuk Ramli MS, dia melihat gandingan kumpulan Kool dengan artis undangan Farawahida yang tidak ‘mesra’ membuatkan mereka tidak layak untuk bertanding pada minggu hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak bagi markah macam mana? Tune muzik dan vokal lari jauh!” - Tok Ram kecewa persembahan Ameer Sofazr

“Faktornya kerana melodi lagu adalah sangat senang dan nada suara dan kemerduan itu tidak ada.

“Bila harmoni pun agak bersepah membuatkan mereka tidak mendapat markah yang cukup untuk mara ke minggu hadapan.

Its nothing do to with Farawahida. Saya tidak boleh beri markah lebih kepada penyanyi undangan kerana mereka di sini hanya untuk support yang bertanding,” katanya kepada mStar.

Kumpulan Kool yang dianggotai oleh Hairie ,51, dan Riot, 47, membawakan lagu Siapa Dia Sebelum Aku bersama Farawahida.

Gandingan Jatt dan Ayai terima pujian juri tetap.

Sementara itu, sembilan peserta mara ke minggu hadapan ialah Wann, Norshila Amin, Feeza, Nurfatima, Sham Visa, Naqiu Boboy, Hady Mirza, Jatt Black Dog Bone, Roy dan kumpulan One Nation Emcee.

Minggu kelima kesemua peserta akan mempersembahkan lagu bertemakan ‘Curhat’ (curahan hati).

Selain Ramli atau Tok Ram, kesemua peserta diadili seorang lagi juri tetap iaitu Hetty Koes Endang selain penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah sebagai juri jemputan.

GV6 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Dalam pada itu, penyanyi veteran, A. Halim menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada pihak penaja iaitu Farm Fresh dan Astro manakala Anugerah Bintang Cili Padi pula dimenangi oleh Jatt Black Dog Bone.

GV6 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Juara Gegar Vaganza musim keenam bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

GV6, Kool

Artikel Lain