suria

Tiada lagi aksi lucu suami isteri dalam kereta, Kak Girl sahkan sudah bercerai - “Orang hanya nampak gelak ketawa”

Kak Girl mengesahkan sudah bercerai dengan suami pada Ahad lalu.

PERSONALITI media sosial, Kak Girl yang mula dikenali menerusi video parodi lip sync mengesahkan sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru pada Ahad lalu.

Menurut Kak Girl atau nama sebenar Nur Amira Maslan, 32, dia dan bekas suami, Mohd Hafizi Marzuki memilih untuk berpisah kerana tiada persefahaman dalam hubungan mereka.

"Hubungan kami memang ada masalah sejak beberapa bulan lalu... tapi akhirnya kami terpaksa mengambil keputusan untuk bercerai.

ARTIKEL BERKAITAN: Kak Girl Kini Pelakon Drama, Filem

"Puncanya kerana sudah tiada persefahaman dan ada masalah komunikasi antara kami. Hubungan mula jadi renggang kerana jarang berjumpa, dia kerja di Singapura dan saya pula berulang alik Kuala Lumpur dan Johor.

Kak Girl dan bekas suami, Hafizi. Foto ihsan: URTV

"Macam-macam usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan rumah tangga ini, namun tidak berhasil dan akhirnya kita bercerai secara baik, tiada bergaduh atau benci," katanya kepada mStar.

Terdahulu, Kak Girl dan Hafizi berkahwin di Johor Bahru pada 20 Februari 2015.

Memang orang nampak kita senyum, bergelak ketawa, tetapi kehidupan di sebalik tiada yang tahu! Saya pula bukan jenis wanita yang suka berkongsi kesedihan di media sosial!

KAK GIRL

Pelakon dan pengacara

Setelah hampir lima tahun berkahwin, pasangan ini masih tidak dikurniakan cahaya mata.

Dalam pada itu, Kak Girl turut menafikan populariti yang diterima sejak kebelakangan ini menjadi faktor keretakan rumah tangga mereka.

Aksi tarian Kak Girl di dalam kereta yang dipandu suami menjadi tular di laman sosial.

"Kalau orang kata sebab dah semakin popular membuatkan hubungan kami mula dingin, itu adalah tidak benar!

"Sebelum saya dikenali lagi memang hubungan kami dah ada masalah. Tapi kami cuba sembunyikan dalam usaha untuk memperbaiki hubungan.

"Memang orang nampak kita sentiasa senyum, ketawa... tetapi apa yang berlaku di sebalik kehidupan kita tiada siapa tahu! Saya pula bukan jenis wanita yang suka berkongsi kesedihan di media sosial," ujarnya.

Sementara itu, Kak Girl berkata status janda yang dibawa tidak akan mengganggu karier seninya dan dia akan terus bekerja untuk menyara kehidupan.

Kak Girl aktif sebagai pengacara majlis dan pelakon.

"Sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama. Saya juga menerima tawaran mengacara majlis dan event di sekitar Kuala Lumpur dan Johor.

"Bukan mudah apabila dah bergelar Mak Janda ni, semuanya kita kena uruskan sendiri. Apa-apa pun saya percaya dengan aturan Allah ini!," katanya.

Pada tahun 2017, nama Kak Girl mula menjadi sebutan netizen apabila dia sering tampil dengan aksi menghiburkan menerusi siri video parodi lip sync sambil menari dalam kereta dipandu suaminya.

Gelagat yang bersahaja dan melucukan itu mula memberi tuah kepadanya dalam mengorak langkah dalam bidang seni yang memang menjadi minatnya.

Kak Girl

Artikel Lain