suria

Entiti muncul dalam rakaman telefon Siti Saerah - “Ada pakcik datang bagi warning tempat itu keras”

Siti Saerah mengakui terdengar bunyi ranting patah sewaktu menjalani penggambaran muzik video Suara di dalam hutan.

PENYANYI Siti Nursaerah berasa terkejut apabila berdepan perkara mistik sewaktu menjalani rakaman muzik video lagu berjudul Suara di sebuah hutan di Kuang, Selangor.

Menurut Saerah, 35, dia hanya menyedari kewujudan entiti berkenaan dalam salah satu babak muzik video yang dirakam menggunakan telefon bimbit milik pembantu peribadinya beberapa hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nikah Dalam Majlis Sederhana, Siti Saerah Temui Jodoh Kawan Lama

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan Lama Kekasih Baharu Siti Saerah

"Sejujurnya saya tidak mengetahui mengenai perkara itu sehingga pembantu peribadi saya memaklumkan mengenai perkara itu semalam.

"Dia yang rakam babak itu guna handphone saya masa tengah shooting dalam hutan bulan lepas.

Saerah berdepan perkara mistik sewaktu menjalani penggambaran di sebuah hutan.

"Bila saya tengok balik video itu, memang saya terasa seram... merinding bulu roma," ujarnya kepada mStar.

Bercerita lanjut, adik kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza ini berkata, dia ada didatangi seorang lelaki membawa budak kecil yang memberitahu pihak produksi mengenai kawasan itu yang didakwa mempunyai 'penunggu'.

"Ketika itu saya sedang sibuk menjalani penggambaran... memang tak sedar apa-apa yang berlaku. Yang pasti dalam hati ketika itu memang ada rasa seram, rasa seperti ada yang memerhati.

"Waktu shooting tu memang saya ada dengar-dengar seperti ada orang yang berjalan di belakang saya kerana ada bunyi tapak kaki pijak ranting-ranting yang patah.

"Kemudian sampai waktu rehat, pembantu datang beritahu dalam pukul 12 malam tadi ada seorang pakcik datang dengan budak kecil bagi warning tempat ini keras.

"Terus merinding bulu roma, peluh jatuh berjurai dan jantung pula laju macam lari maraton," ujarnya.

Lilin, taburan bunga kubur antara prop yang digunakan sewaktu penggambaran lagu Suara.

Dalam pada itu, Saerah turut menyifatkan pengalaman itu ibarat mimpi ngeri buatnya apabila terpaksa menjalani penggambaran di tengah hutan pada waktu malam dengan mengenakan pakaian Che Siti Wan Kembang.

"Jiwa memang kena kental... masih segar dalam ingatan saya saat shooting muzik video ini dilakukan pada hari Khamis malam Jumaat, pukul 12 malam.

"Ia ibarat mimpi ngeri apabila saya memakai pakaian adaptasi dari Che Siti Wan Kembang dan bersanggul di bawah pokok besar tepi sungai.

"Pasang lilin, taburan bunga kubur, ditambah lirik dan bunyi teramat menakutkan. Ibarat suatu upacara pemujaan... tapi kakak ni sejenis berani sikit... demi karya terulung ini terpaksa gagahkan diri," ujarnya.

Suara merupakan lagu runut bunyi bagi filem Anak Perjanjian Syaitan yang mengisahkan mengenai Cikgu Zaidi lakonan Nadzmi Adhwa dan isterinya, Azlinda lakonan Chacha Maembong yang sudah tujuh tahun berkahwin namun tidak mempunyai cahaya mata.

Siti Saerah, mistik

Artikel Lain