suria

“Proses bersalin berjalan dengan lancar” - Azrinaz Mazhar Hakim selamat lahirkan bayi perempuan

Azrinaz dan suami bersyukur proses bersalin berjalan lancar.

BEKAS personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 10.20 pagi Ahad di Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur.

Menerusi Instagram Azrinaz pada Isnin memberitahu dia dan bayi yang dilahirkan seberat 2.75 kilogram itu berada dalam keadaan sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Azrinaz akhiri zaman janda

"Syukur, Alhamdullilah saya dan suami sangat gembira untuk mengumumkan kehadiran bayi perempuan kami pada Ahad, pukul 10.20 pagi dan berat 2.75 kilogram.

Azrinaz berkongsi foto bayi perempuannya di bilik yang dihias cantik.

"Saya dan bayi dalam keadaan sihat. Allah adalah sebaik-baik perancang. Proses bersalin berjalan dengan lancar dan rasanya seperti berlalu dengan begitu cepat. Alhamdulillah," tulisnya.

Azrinaz melangsungkan perkahwinan dengan teman lama, Fairos Khan Abdul Hamid, 43, pada 1 Mei tahun lalu dan ia merupakan perkahwinan kedua buat Azrinaz.

Sebelum ini, Azrinaz dan suami sama-sama bertugas di TV3, namun mula rapat sejak lebih setahun sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

Azrinaz dan Fairos Khan berkahwin pada 1 Mei 2018.

Dalam pada itu, Azrinaz juga menganggap kehadiran cahaya mata membuatkan kehidupan mereka lebih bermakna dan berterima kasih atas doa dan sokongan yang diberikan keluarga serta rakan.

Bagaimanapun, Azrinaz memberitahu dia dan keluarga memerlukan sedikit masa untuk berehat.

"Kehadiran anak perempuan kami membuatkan kehidupan terasa lebih bermakna. Terima kasih atas doa, kata-kata semangat yang diberikan oleh keluarga dan juga rakan-rakan.

"Sekarang kami memerlukan sedikit masa untuk berehat dan akan mengemas kini perkembangan terbaru pada masa akan datang," katanya.

Azrinaz sebelum ini pernah berkahwin dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 2005 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 11.

Azrinaz Mazhar

Artikel Lain