suria

Bakal adakan konsert reunion 28 September ini, Mamat Exists dicekup polis miliki dadah

Polis menemui serbuk putih dipercayai syabu seberat 0.42g pada dompetnya.

BEKAS vokalis kumpulan Exists iaitu Mamat ditahan polis selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kesalahan dadah ketika menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

Penyanyi itu ditahan polis di Taman Perling, Johor pada malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Mamat (Exist) Hidup Merana, Mahu Tebus Kesilapan

ARTIKEL BERKAITAN: “Cerita yang tak ada pun diadakan” - Mamat (Exists) sedih banyak cerita buruk, risau boleh tutup periuk nasi

Memetik laporan Astro Awani, Mamat ditahan selepas pihak polis menemui penyanyi itu dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan turut menemui serbuk putih dipercayai syabu seberat kira-kira 0.42g yang disimpan dalam dompetnya.

Mamat bersama rakannya itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara untuk siasatan lanjut.

Hasil ujian air kencing turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

Perkara itu turut disahkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Assisten Komisioner, Mohd Taib Ahmad.

Mamat (duduk kanan) dan Ezad (duduk, tengah) bersama anggota Exists. Foto: Ajai

Untuk rekod, Mamat bakal mengadakan konsert reunion bersama anggota asal kumpulan Exists pada 28 September ini di Stadium Malawati, Shah Alam dan 5 Oktober depan di Singapura.

Selain Mamat, seorang lagi vokalis Exists ialah Ezad Lazim.

Sementara itu, jurucakap Shiraz Projects yang juga penganjur konsert Exists Reunion dalam satu kenyataan kepada pihak media melahirkan rasa terkejut dengan kejadian itu.

Bagaimanapun setakat ini konsert yang diracang itu akan berjalan seperti biasa.

"Kami memahami sentimen yang sedang bermain di fikiran peminat-peminat Exists Reunion. Sebagai menjawab tanda tanya itu, apa yang boleh kami katakan ialah, terlalu awal untuk kita semua membuat keputusan.

"Namun begitu, sehingga ke saat ini, konsert yang dirancang akan berjalan seperti biasa dan kami serahkan pada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut ketetapannya," kata kenyataan itu.

Pihak penganjur juga akan memaklumkan perkembangan berkenaan sebagai menghargai kebimbangan, keprihatinan dan kerjasama semua pihak terutamanya penyokong-penyokong Exists Reunion.

Mamat, Exists, dadah

Artikel Lain