Asif, Syahmi kembali bergabung! Tapi ada syarat... keluarga minta kontrak, mesti ada 'hitam putih' bayaran gaji - Hiburan | mStar

Asif, Syahmi kembali bergabung! Tapi ada syarat... keluarga minta kontrak, mesti ada 'hitam putih' bayaran gaji

Asif bakal kembali berlakon bersama produksi milik Syahmi. -Foto SIA HONG KIAU

PEMINAT bintang YouTube, Mohd Asyiff Suhaimi atau Asif kini tidak perlu bimbang apabila remaja autisme itu disahkan bakal kembali membintangi slot Drama Spontan di platform video popular itu.

Persetujuan tersebut dicapai selepas konflik melibatkan keluarga remaja itu dengan personaliti YouTube, Syahmi Sazli berjaya diselesaikan dengan baik demi kepentingan Asif.

ARTIKEL BERKAITAN: “Abah... kenapa abah?” - Ini cerita sebenar kemelut Asif dan Syahmi, status bayaran berlakon 'Drama Spontan' juga sudah jelas

ARTIKEL BERKAITAN: Asif gemar berlakon tapi sukar hafal skrip, Syahmi Sazli muncul idea 'Drama Spontan'

Menurut kakak kepada Asif iaitu Siti Nurul Atina Suhaimi, 30, dia mengambil inisiatif untuk membawa bapanya, Suhaimi, 56, bersemuka dengan Syahmi berhubung dakwaan isu bayaran gaji dan kebajikan remaja istimewa itu terabai.

Karier Asif kini akan diuruskan oleh kakaknya, Tina.

"Alhamdulillah, semuanya sudah selesai setelah saya bawa abah berjumpa dengan Syahmi dan isterinya, Anissa Faizul untuk berbincang mengenai apa yang berlaku.

"Abah pun dah mengaku segala salah faham yang berlaku berpunca daripadanya dan dia sudah memohon maaf kepada pihak Syahmi," katanya kepada mStar.

Sejak Ahad, netizen dikejutkan dengan pendedahan Siti Nurul Atina atau Tina yang mendakwa Syahmi selaku majikan kepada Asif tidak bertanggungjawab dengan mengabaikan bayaran dan kebajikan remaja itu.

Bagaimanapun menerusi laporan mStar sebelum ini, Tina yang merupakan kakak sebapa dengan Asif mengakui konflik berkenaan berpunca daripada salah faham dalam keluarga.

Asif mula dikenali menerusi Drama Spontan terbitan Syahmi.

Bercerita lanjut mengenai hasil pertemuan mereka, Tina berkata Asif dibenarkan untuk kembali berlakon menerusi produksi milik Syahmi.

Bagaimanapun bapanya meminta supaya satu perjanjian bertulis dibuat khususnya mengenai bayaran demi kepentingan Asif.

"Walaupun dah bermaafan, abah pada mulanya tak benarkan lagi Asif terlibat berlakon dengan Syahmi dan mahu Asif kembali jalani kehidupan seperti sebelum dia dikenali. Tapi selepas dipujuk, Alhamdulillah abah berubah fikiran.

"Syaratnya, abah mahu saya urusan semua perkara berkaitan Asif. Abah pun dah janji tak nak masuk campur dalam kerjaya Asif.

"Selain itu kami kena buat perjanjian bertulis atau kontrak dengan Syahmi agar isu bayaran untuk Asif lebih jelas dan tidak timbul salah faham," ujarnya.

Syahmi Sazli , Asif , Drama Spontan

Artikel Lain