suria

“Ini dugaan saya dalam menyebarkan dakwah” - Yana Samsudin dan suami dihina gara-gara drama LGBT

Yana jawab beberapa tuduhan berbentuk fitnah terhadap telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi.

PELAKON Yana Samsudin menjawab beberapa dakwaan berbentuk fitnah kononnya telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi mempromosikan aktiviti songsang di pusat tahfiz.

Yana yang juga Penerbit Eksekutif Prokuya Studios, 34, berkata, mereka tidak sepatutnya mempercayai sumber tidak sahih dan lebih baik sekiranya merujuk pihaknya terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu andaian.

"Pelbagai komen positif dan negatif, kejian serta bantahan, saya percaya yang mengeji ini ambil dari ulasan sumber tak sahih tanpa tahu sinopsis sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Babak dimanipulasi hingga nampak negatif” - Fadzil Zahari siasat individu bocorkan kandungan telefilem LGBT

ARTIKEL BERKAITAN: NGO rayu tangguhkan tayangan drama LGBT, minta RTM jemput wakil agamawan untuk pratonton terlebih dahulu

"Sebagai manusia tak salah buat andaian tapi kalau nak buat jangan jatuh hukum, tak salah rujuk atau tanya dulu.

"Mempromosikan kegiatan LGBT di pusat tahfiz itu satu dakwaan tak berasas, hanya andaian orang yang tak pernah tengok (telefilem ini) sebab kita tak pernah tayang lagi," katanya.

Yana menegaskan telefilem ini tidak memaparkan elemen LGBT di pusat tahfiz.

Isteri kepada penerbit Fadzil Zahari ini menjelaskan mengenai perkara itu menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Youtube miliknya Yana Samsudin.

Sementara itu, Yana memberitahu bukan mudah untuk sesuatu drama menembusi siaran di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik penuh kerajaan itu.

Ini berikutan dia perlu melalui pelbagai peringkat penilaian sehinggalah mendapat kelulusan stesen untuk siaran umum.

"Dalam telemovie ni tak ada satu pun babak menjurus ke arah itu (LGBT) sebabkan satu gambar jadi macam-macam andaian, jadi fitnah.

Yana dan suami Fadzil Zahari.

"Tahu tak RTM ada panel penilaian sangat ketat, semua dititikberatkan sebelum dilepaskan untuk tayangan. Sebenarnya korang tahu tapi saja je kan! Tapi tak apa, jangan pertikaikan kredibiliti panel RTM," ujarnya.

Dalam pada itu, Yana berharap masyarakat menonton terlebih dahulu telefilem tersebut yang akan bersiaran tidak lama lagi.

Dia turut mengharapkan maklum balas daripada penonton supaya dapat memperbaiki lagi kualiti drama terbitan syarikatnya, Prokuya Studios.

"Insya-Allah apabila cerita ini dah tayang kami harap menerima maklum balas anda untuk jadi manusia lebih sempurna, Prokuya bukan buat promosi murahan sebegini dan ia bukan datang dari kami.

Telefilem ini mengandungi banyak mesej tersirat.

"Apa pun baik atau buruk tetap promosi, mungkin ini dugaan kepada saya dalam menyebarkan dakwah, saya terima.

"Yang dekat luar berjemaah maki hina kami, saya, suami dan kru Demi Tuhan Aku Bersaksi kata kami kafir dan confirm masuk neraka, saya doakan kalian masuk syurga," katanya.

Telefilem berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi mengisahkan tentang seorang maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali bertaubat serta mendalami ilmu agama.

Watak maknyah yang dipegang oleh Syafie Naswip membuat keputusan masuk ke pusat tahfiz. Namun ketika di pusat tahfiz, dia telah dihina dan dikeji sebagai pengikut kaum Luth.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu gambar dan sinopsis Demi Tuhan Aku Bersaksi ini tersebar di laman sosial sehingga ia menerima kecaman netizen kerana dianggap tidak sensitif gara-gara memilih elemen budaya hidup songsang di dalam sebuah pusat keagamaan.

Yana Samsudin

Artikel Lain