Ibu Issey meninggal dunia - Hiburan | mStar

Ibu Issey meninggal dunia

Ibu Issey menghembuskan nafas terakhir di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan pada Selasa.

PELAWAK dan penyampai radio Suria FM, Issey Fazlisham kehilangan ibu tercinta iaitu Asiah Haron, 62, yang meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pada pukul 3.40 petang, Selasa.

Berita sedih itu dikongsi oleh Issey, 32, menerusi laman Instagram.

"Ibu saya baru meninggal dunia. 3.40 petang, Al-Fatihah... Asiah Binti Haron," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Allah... patut semalam rasa tak sedap hati,” - Issey bergegas balik Kelantan, Ibu patah tulang paha akibat terjatuh

Beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, Issey memberitahu ibunya telah dikejarkan ke hospital kerana serangan jantung.

Issey berkongsi berita menyedihkan itu di Instagram miliknya pada Selasa.

"Doakan ibu saya, pukul 9.30 pagi tadi dia kena major attack. Sekarang di HUSM Kubang Kerian," katanya.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Batu 11, Ketereh, Kelantan selepas solat Isyak.

Pada 6 Julai lalu, ibunya patah tulang paha kerana terjatuh.

Sebelum ini menerusi laporan mStar, Issey memberitahu ibunya itu menghidap kencing manis dan perlu mendapatkan penjagaan rapi.

"Emak kencing manis hampir setahun lalu. Kakinya ada cedera sikit, asalnya luka kecil sahaja sehinggalah melarat sampai sekarang.

"Sebab itu tahun ini saya banyak berulang-alik ke Kelantan untuk melawat mak, cuma saya jarang kongsi di Instagram," katanya.

Issey Fazlisham , Suria FM