suria

Lagu baharu Unic dan Harry Khalifah 'Padu Bossku' tiada kaitan dengan politik

Padu Bossku masih membawa maksud positif biarpun berentak rock.

PENYANYI dan komposer Harry Khalifah menafikan lagu baharu berjudul Padu Bossku dicipta mengikut keadaan politik semasa yang kini popular dengan perkataan tersebut.

Harry, 39, yang turut menyanyikan lagu berkenaan bersama kumpulan nasyid Unic menjelaskan perkataan 'bossku' itu sudah lama digunakan penduduk negeri Sabah.

"Saya tak buat lagu ini untuk tujuan politik, kalau nak ikutkan perkataan tersebut memang digunakan penduduk di Sabah. Mungkin kebetulan ada juga beberapa lagu dihasilkan dengan nama Bossku.

UNIC turut bertaranum dan menyanyi rap dalam lagu Padu Bossku.

"Sebenarnya ia terpulang kepada pendengar, kalau setakat baca tajuk lagu je memang akan anggap ia berunsur politik. Tapi kalau dah dengar mesti akan faham maksud disebalik terma bos tersebut," kata Harry kepada mStar.

Dalam pada itu, Harry juga menjawab tanggapan segelintir peminat yang meluahkan rasa kurang selesa apabila kumpulan nasyid Unic menyanyikan lagu berentak rock.

Harry yang juga pemain gitar utama kumpulan Khalifah ini bagaimanapun menjelaskan lirik lagu ini langsung tidak melalaikan malah menghargai golongan ketua dalam sesuatu organisasi.

Antara babak menarik dalam lagu Padu Bossku.

"Pada awalnya saya mati kutu mencari idea nak hasilkan lagu ini untuk dinyanyikan kumpulan Unic, takkan mereka nak nyanyi lagu cinta pula. Jadi terhasil lagu rakyat yang bercerita tentang bos ini.

"Biarpun ia berentak keras dan rancak, namun saya dan penulis lirik iaitu Achoi daripada kumpulan Floo88 masih mengekalkan lirik bersifat positif," tambah Harry.

Artikel Lain