suria

“Tak kisah apa orang nak kata, usia ini memang ada risiko untuk hamil” - Fasha anggap belum rezeki dikurniakan cahaya mata

Fasha beranggapan apa yang terjadi bergantung kepada nasib dan rezeki seseorang.

PELAKON Fasha Sandha memberitahu keguguran yang dialaminya bukan kerana dia membuat pengumuman tentang kehamilannya terlalu awal.

Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 35, berkata dia menganggap apa yang terjadi itu bergantung kepada nasib dan rezeki seseorang itu.

"Sebenarnya ia bergantung pada nasib dan rezeki seseorang itu sebab sebelum ini saya hamil Raysha, saya ada umum juga ketika kandungan di peringkat awal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya kongsi tip hamil sebab orang tanya” - Fasha Sandha balas komen netizen sindir kegugurannya

"Ada orang hamil lima bulan pun boleh mengalami keguguran. Semuanya adalah rezeki. Tak ada pun orang mengatakan kalau umum hamil awal nanti ada sesuatu tidak baik berlaku.

Fasha dan Aidil tidak akan berputus asa mencuba untuk dikurniakan zuriat.

"Tapi saya tidak kisah apa orang nak kata. Ikut pada mereka yang ingin menilai sebab semuanya berbalik kepada soal rezeki," kata Fasha kepada mStar.

Fasha ditemui ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Mind Order yang diadakan di Forest Valley Hall, Cheras pada Jumaat.

Isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini mengalami keguguran pada usia kandungannya hampir mencecah tujuh minggu pada 10 Jun lalu.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Syurga Yang Kedua ini memberitahu dia akan lebih berjaga-jaga sekiranya diberikan rezeki untuk hamil sekali lagi.

"Di usia saya ini memang mempunyai risiko untuk hamil tapi apa yang saya dapat belajar selepas ini supaya tidak terlalu aktif di masa hadapan.

Fasha akan lebih berhati-hati sekiranya diberikan rezeki untuk hamil lagi.

"Jika hamil lagi, saya perlu banyak berehat dan tak boleh lakukan banyak aktiviti sehingga tidak sedar diri sedang mengandung," ujarnya.

Fasha dan Aidil melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 30 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

Sebelum ini Fasha pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 6, dan Putri Raysha Jemyma yang kini berusia lima tahun.

Fasha Sandha, Aidil Aziz

Artikel Lain