suria

“Berderai air mata... aku peluk dia kuat-kuat” - Amy Search kongsi detik indah bertemu Nabila Huda

Amy bersyukur keluarganya dapat bersatu semula.

PENYANYI rock terkenal, Amy Search berkongsi detik terindah apabila dia dapat bertemu dengan anaknya, Nabila Huda pada Sabtu lalu.

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi A Rahman, 60, pertemuan tersebut diaturkan sendiri oleh isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish dan pengarah Erma Fatima.

"Sebelum ni, di malam Jumaat isteri aku Nourish dan Erma Fatima merancang sesuatu untuk aku dan Abil.

"Masa tu anak-anak aku semua keluar tengok wayang. Aku pun hairan anak-anak semua tengok wayang tinggalkan aku.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hidup saya dah sempurna sekarang” - Erma Fatima tunaikan hajat Nabila Huda jumpa bapanya Amy Search


Amy berkongsi video memperlihatkan Nabila dan isterinya berpelukan erat.

"Rupa-rupanya ada sesuatu yang terindah berlaku. Tiba-tiba bunyi loceng, aku kat beranda tengah ngobrol (berborak) dan ternampak kelibat cucu.

"Rupa-rupanya hari indah yang aku bisikan pada Allah tiba akhirnya. Berderai air mata orang tua ni. Aku peluk dia kuat-kuat," kata Amy.

Amy meluahkan perasaannya dan memuat naik video kejutan hari lahir buat isterinya menerusi laman Instagram pada Ahad.

Video yang memperlihatkan Nabila memeluk erat ibu tirinya itu membuatkan netizen turut terharu dan gembira apabila hubungan dingin itu kini sudah pulih.

Nabila sebelum ini pernah meluahkan perasaan sedih apabila sudah beberapa tahun tidak dapat bertemu bapanya disebabkan perbalahan dengan ibu tirinya.

Ini semua Allah yang hadiahkan sebab Allah sangat suka pada orang-orang yang sabar.

Amy Search

Penyanyi

Baru-baru ini, Erma bertindak menjadi orang tengah kepada Nabila dan suaminya, Mohd Izwan Johar untuk berdamai dan berbaik semula dengan bapanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Isabella itu meluahkan perasaan syukur dan gembira apabila keluarganya kembali bersatu.

"Malam Sabtu kelmarin aku dan Abil bersama anak cucu buat kejutan hari lahir untuk isteri aku. Gembira sangat dan terlalu indah momen ini.

"Taman hati aku di penuhi bunga-bunga yang cantik lagi wangi. Ini semua Allah yang hadiahkan sebab Allah sangat suka pada orang-orang yang sabar.

"Segala dugaannya aku terima dengan berbesar hati. Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat yang tak terbayangkan ini," ujarnya.

Amy membuat kejutan ulang tahun kelahiran isterinya bersama anak-anak dan cucu.

Amy juga berterima kasih kepada isterinya dan Erma untuk perancangan mereka yang dianggap indah buat keluarganya.

Untuk rekod, Amy dan Nourish berkahwin pada 2003 dan mempunyai tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9.

Amy turut mempunyai dua orang anak iaitu Nabila Huda, 34, hasil perkahwinan pertama dengan Faridah Fadzil dan Irish Myra, 21, perkahwinan ketiganya dengan Roslisa Ahmad.

Menerusi perkahwinan kedua dengan Noorliza Abdul latiff mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Amy Search, Nabila Huda, Erma Fatima

Artikel Lain