suria

A Rahman Hassan kritikal hanya bergantung alat bantuan pernafasan

Datuk A Rahman bergantung pada mesin pernafasan

SENIMAN Datuk A Rahman Hassan kini berada dalam keadaan kritikal dan hanya bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Anaknya, pelakon Khir Rahman meminta orang ramai mendoakan kesembuhan bapanya dan berharap keajaiban untuk pulih kembali seperti biasa.

"Ayah sekarang bergantung pada sokongan mesin untuk bernafas. Tengok berapa lama badan dia boleh bertahan.

"Kalau nak bedah pun peluang hanya 1 peratus sahaja. Maknanya memang tak boleh nak buat apa-apa lagi.

"Tengoklah... ada orang empat hari, ada tiga hari dan ada juga yang 24 jam. Sebab itu saya minta kawan-kawan dan saudara untuk datang dan berjumpa abah," katanya kepada mStar.

Penyanyi A. Rahman dikejarkan ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur selepas tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 malam Isnin.

Penghibur veteran itu kini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).


Khir melarang mana-mana pihak mengambil gambar bapanya ketika dalam ICU.


ARTIKEL BERKAITAN: A Rahman Hassan dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas, pitam

ARTIKEL BERKAITAN: Khir Rahman Takut Dihentam Penggiat Filem

Bagaimanapun, Khir berkata, dia tidak berputus asa dan sentiasa kuat demi keluarganya.

"Saya tiada pilihan lain selain bertabah. Mak dan adik-beradik lain pun sedang bersedih. Jadi saya yang harus menjadi kuat tapi dalam hati ini hanya tuhan yang tahu apa saya rasa.

"Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ia kenyataan yang saya harus hadapi.

"Reda perkara terakhir yang saya akan lakukan. Kiranya ia terjadi baru saya akan reda. Tapi untuk ayah, saya akan terus berdoa dan harapkan keajaiban akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Khir turut berharap orang ramai yang menziarahi bapanya agar tidak merakam atau mengambil gambar keadaan bapanya yang kini sedang terlantar.

Menurut Khir, ia bukanlah suatu visual yang baik untuk diingati malah menghormati sikap ayahnya yang juga merupakan seorang yang sentiasa berketerampilan kemas.

"Di dalam ICU memang saya tak izinkan mereka untuk ambil gambar.

"Di dalam keadaan dia bersama mesin itu bukanlah gambar yang elok untuk semua orang tengok. Ia bukan visual yang kita nak ingat sampai bila-bila,

"Lagipun saya tahu Abah. Dia seorang yang kemas dan menjaga penampilan. Dia nak orang nampak yang dia selalu okay. Jadi dalam keadaan begini saya tak fikir dia akan suka. Saya percaya dia juga akan cakap jangan," katanya.

Artikel Lain