“Jangan sindir, biar dia dalami Islam ikut kelajuan sendiri”- Pendakwah kongsi detik Michael Ang lafaz syahadah - Hiburan | mStar

“Jangan sindir, biar dia dalami Islam ikut kelajuan sendiri”- Pendakwah kongsi detik Michael Ang lafaz syahadah

Pendakwah, Firdaus Wong meminta orang ramai memberi ruang kepada Michael Ang mendalami agama Islam.

PENDAKWAH bebas Firdaus Wong Wai Hung meminta orang ramai menghormati dan memberi ruang kepada Michael Ang untuk mempelajari agama Islam.

Menurut Firdaus, motivasi dan dorongan perlu diberikan kepada setiap saudara baharu dan bukannya menyindir mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: "Assalamualaikum saudara" - Netizen raikan Michael Ang peluk Islam

ARTIKEL BERKAITAN: "Buat Tahlil Di Kelab Malam" Heret Michael Ang Dikecam Netizen

"Bagilah ruang dan peluang untuk dia (Michael Ang) mendalami agama Islam mengikut kemampuan dan kelajuannya yang tersendiri.

"Jangan sindir dan perli tetapi berikan motivasi dan dorongan bukan sahaja untuk dia tetapi kepada semua yang mahu kembali kepada Islam," katanya.

Dalam pada itu, Firdaus yang juga merupakan seorang mualaf turut berkongsi detik ketika dia bersama-sama membantu Michael Ang memeluk agama Islam kira-kira setahun lalu.

Perkara itu dikongsikan Firdaus menerusi catatan di laman Instagram miliknya pada Selasa.

Tambah Firdaus, dia terpaksa merahsiakan berita gembira berkenaan yang diadakan dalam sebuah majlis sederhana bertempat di rumah Michael sebagai menghormati keputusan rakannya itu.

Kad perakuan memeluk Islam milik Michael Ang.

"Memandangkan Michael Ang sudah berkongsi, maka saya juga turut ingin kongsikan berita gembira ini. Alhamdulilah... Benar beliau telah memeluk agama Islam lebih setahun lepas bersama saya dan Sheikh Hussain Yee.

"Segala urusan pendaftarannya diuruskan oleh NGO saya iaitu Multiracial Reverted Muslims (MRM).

"Majlis pengislaman berlangsung sederhana sahaja di rumah dia. Kami berjanji merahsiakan sehingga dia sendiri bersedia. Alhamdulilah Alhamdulilah Alhamdulilah... Selamat kembali ke agama Islam, Michael," tulisnya.

Terdahulu, pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang membuat pengakuan bahawa dia sudah memeluk agam Islam kira-kira setahun lalu.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul apabila Michael Ang juga pernah berkongsi pengalaman berpuasa di bulan Ramadan tahun lalu.

Michael Ang mengakui masih belajar tentang Islam.

Firdaus Wong , Michael Ang , Islam

Artikel Lain