“Seorang tercekik tulang, seorang tercekik telur” - Peminat 'sound' Misha, Hael nyanyi sumbang - Hiburan | mStar

“Seorang tercekik tulang, seorang tercekik telur” - Peminat 'sound' Misha, Hael nyanyi sumbang

Persembahan duet Misha dan Hael di AME2019 dikecam netizen. Foto Instagram: @mishaomar.

PERSEMBAHAN duet penyanyi Misha Omar dan Hael Husaini menerusi lagu Rewrite The Star di malam kemuncak Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) pada malam Ahad lalu menerima pelbagai reaksi netizen.

Rata-rata netizen memberi kritikan negatif mengenai gandingan pasangan berkenaan yang dianggap kurang serasi dalam menyampaikan lagu berbahasa Inggeris itu.

Misha, 37, menerusi laman sosial Instagram mengucapkan berterima kasih pada netizen yang memberi pandangan tidak kira yang negatif mahu pun positif dan menerima secara terbuka.

Pemilik nama Samiha @ Aisah Omar turut memberitahu dia dan Hael akan memperbaiki kelemahan mereka dan mencuba yang lebih baik selepas ini.

Misha membalas beberapa komen negatif netizen.

"Terima kasih sangat untuk sokongan yang hebat! Jatuh tujuh kali, bangun lapan kali. Dalam hidup ni kalau cepat putus asa, hidup tak hidup.

"Jangan macam tu dik. Benda tak sempurna bukan bererti kita tak ada peluang untuk perbaiki. Tak apa. Akak terima pandangan awak dengan hati terbuka.

"Maafkan kami, lain kali kita cuba buat lebih baik. Insya-Allah," tulis Misha di ruang komen foto dia dengan Hael menerusi Instagram miliknya. 

Tambah Misha lagi, dia meminta netizen untuk berhenti mengecam dan menghakimi kerana persembahan mereka itu sekadar hiburan sahaja.

Misha juga mengakui kemungkinan duet dia bersama penyanyi lagu Hajat itu kurang serasi dan akan buat yang lebih baik jika ada peluang sekali lagi untuk bergandingan.

Misha akui mungkin duet dia dengan Hael kurang serasi.

"Ala, jangan macam tu. Jangan terlalu menghukum dan negatif. Hiburan saja pun. Ambil perkara itu dengan mudah.

"Tak apa. Mungkin duet kami kurang serasi semalam. Lain kali ada peluang kami cuba buat lebih baik," katanya.

Malam kemuncak acara tersebut diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang menyaksikan penyanyi Khai Bahar dan Siti Nordiana diumumkan sebagai Top Top MeleTOP.

Dalam pada itu, ada juga segelintir netizen yang memberi kata-kata positif dan meminta Misha tidak terasa hati dengan komen negatif netizen.

"Sabar la Kak. Masing-masing dan-dan nak cerita fasal pitching dan sebagainya. Kang suruh duduk atas pentas menyanyi, baru mereka tahu rasa dia.

"kita teruskan belajar ya kak @mishaomar Insya-Allah," katanya.

Misha Omar , Hael Husaini , AME2019

Artikel Lain

Agong bantu mangsa kemalangan