suria

Kekal identiti gadis Melayu, penyanyi rap Bunga tak akan tanggal baju kurung!

PENYANYI rap, Bunga Isme berkata dia akan mengekalkan identiti berbaju kurung ketika mengadakan persembahan nyanyian.

Menurut Bunga atau nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari Jalaini, 19, dia selesa mengenakan baju tradisional itu dan tidak akan sesekali menukar imej tersebut.

"Saya memang akan pakai baju kurung ketika membuat persembahan kerana ini adalah identiti saya sebagai seorang penyanyi.

"Malah, saya rasa lebih yakin berpakaian tradisional dan rasanya tak ada lagi penyanyi perempuan mengenakan pakaian tradisional semasa menyampaikan lagu rap.

Persembahan Bunga dalam 16 Baris episod 15 mencuri perhatian penonton.

"Tak sangka ramai yang memuji penampilan saya ini dan ada yang terkejut apabila melihat seorang gadis berhijab mampu menyanyikan lagu hip hop," katanya ketika ditemui mStar Online.

Sebelum ini, video nyanyian Bunga bersama 16 Baris yang dimuat naik di Youtube menarik perhatian pelayar dan trending di laman tersebut.

Antara topik perbualan penonton ialah mengenai pakaian yang digayakan oleh Bunga yang dikatakan mengangkat identiti gadis Melayu, selain kemampuannya menyanyi lagu rap dengan baik.

Meskipun menerima pujian ramai penonton, Bunga turut tidak terlepas daripada kritikan netizen yang ternyata kurang senang dengan imej digayakan.

Bunga terima komen penonton dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, penuntut tahun satu di sebuah universiti awam di Negeri Sembilan ini menjadikan kritikan itu sebagai panduan dalam mengejar cita-cita.

"Biasalah, kalau ada yang puji mesti ada juga yang mengecam. Ada yang kata tak sesuai perempuan pakai baju kurung menyanyi rap.

"Malah ada juga yang mengkritik cara nyanyian saya, tapi saya terima sahaja komen mereka itu kerana ia membuatkan saya lebih bersemangat memperbaiki nyanyian.

"Soal pakaian pula, bagi saya ini adalah baju tradisional kita, kalau bukan kita yang kekalkan budaya ini siapa lagi? Jadi saya tak terlalu ambil pusing mengenai kecaman kerana ramai lagi menyokong imej yang saya bawa ini," ujarnya.

Artikel Lain