suria

Azhan Rani tak peduli jumlah penonton yang penting penunggang agama sedar!

Azhan Rani tidak kisah tentang jumlah penonton, cuma mahu mesej diterima baik. Foto Instagram @azhan_rani

PELAKON Azhan Rani memberitahu dia sama sekali tidak memandang jumlah tontonan yang tinggi dalam drama Nur yang menjadi perhatian ramai sekitar Mei tahun lalu.

Menurut Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abdul Rani, 43, dia secara peribadi lebih mementingkan mesej dalam lakonannya dan berharap dapat memberi kesedaran kepada penonton.

"Ramai orang memperkatakan tentang jumlah tontonan tinggi yang dicapai oleh drama Nur sebelum ini, namun secara peribadi saya langsung tidak peduli tentang perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nur 2 tak sensitif, Raja Atiq mohon maaf silap baca ayat Al-Quran

"Sejujurnya, saya hanya mahu penonton terkesan dengan watak penunggang agama yang saya lakonkan dan mampu menjadi teladan yang baik dalam membanteras virus tersebut," katanya kepada mStar Online.

Azhan harap penonton dapat mesej positif.

Azhan ditemui semasa majlis sidang media pelancaran drama Nur 2, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon watak Ustaz Syed Hamadi dalam drama yang memenangi anugerah Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin 2018 ini menganggap lakonan yang baik sehingga dapat memberi kesan positif kepada penonton merupakan satu tanggungjawab yang dipikulnya sejak sekian lama.

"Saya tidak nafikan jumlah penonton yang tinggi memberi pulangan baik kepada semua pihak, namun ia lebih baik jika seimbang daripada segi keuntungan dan juga tanggungjawab sebagai seorang manusia dengan melakukan amalan baik sebagai bekalan di akhirat kelak.

Barisan pelakon drama Nur.

"Biarlah saya bawa watak ustaz yang antagonis sekalipun, cukuplah jika ia dapat memberi keinsafan kepada mana-mana individu walaupun cuma seorang!," ujarnya.

Sebelum ini, drama Nur arahan Shahrulezad Mohameddin berjaya mencipta fenomena luar biasa apabila mendapat lebih 11 juta tontonan di televisyen dan kira-kira 2 juta tontonan melalui penstriman digital.

Sementara itu, siri drama Nur 2 sudah mula ditayangkan di TV3 bermula Selasa lalu.

Selain Azhan Rani, Nur 2 turut dibintangi Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah dan ramai lagi.

Artikel Lain