Along (Cham) harap anaknya dapat tarik bekas isteri kembali menutup aurat - Hiburan | mStar

Along (Cham) harap anaknya dapat tarik bekas isteri kembali menutup aurat

Along terkejut anaknya menegur bekas isteri untuk menutup aurat. Foto: GLENN GUAN.

PELAKON dan pelawak Along (Cham) berharap satu hari nanti anaknya, Ahmad Danial akan menjadi orang yang berjaya membuat bekas isteri, Zila Seeron kembali menutup aurat.

Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 35, anak lelakinya pernah menegur Zila untuk memakai tudung ketika datang ke rumah untuk berjumpa.

"Anak saya akan bercerita momen setiap kali ibu dia (Zila) datang melawat di rumah ibu saya. Ada satu hari itu, Danial beritahu dia ada meminta Zila memakai tudung dan menutup aurat.

ARTIKEL BERKAITAN: Along (Cham) tidak lagi dendam bekas isteri, hantar anak ke madrasah

"Terkejut juga anak saya boleh kata begitu tapi saya ada pesan dekat Danial, kalau nak tegur biar cara yang baik supaya ibu dia tidak terasa hati.


Along berharap anaknya akan membawa Zila kembali menutup aurat.

"Cuma apa yang saya harapkan satu hari nanti kalau bukan orang lain, biarlah Danial, anak dia sendiri menjadi orang yang menarik ibu dia kembali menutup aurat," katanya kepada mStar Online.

Along ditemui ketika malam tayangan filem Tiada Tajuk di MM Cineplex, E@Curve, Damansara, Petaling Jaya, pada Rabu.

Zila dikatakan kembali membuka tudung apabila dia dilihat memuat naik foto terbaharunya di akaun Instagram pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Along berkata dia tidak mengetahui perkara itu kerana beranggapan bekas isterinya sememangnya tidak memakai tudung selepas mereka bercerai pada Ogos 2016.

Zila dikatakan kembali membuka tudung apabila memuat naik foto terbaharu di Instagram.

"Sebenarnya saya terkejut juga bila baca artikel mengenai dia membuka tudung semula. Sebab setahu saya la, dia memang tak pakai tudung sejak kami bercerai.

"Tapi saya tak pastilah mengenai perkara itu. Kami pun tidak saling berhubung sejak itu. Apa-apa berkenaan dengan anak pun, dia akan hubungi ibu saya," ujarnya.

Along dan penyanyi yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 4 (AF4) itu berkahwin pada 23 Januari 2010 dan bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Danial yang kini berusia lapan tahun.

Along Cham , Zila Seeron

Artikel Lain

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia