suria

“Pada usia 7 tahun ibu-bapa berpisah, ia bukan sesuatu yang mudah” - Anak Nourul, Ajai kongsi pengalaman berdepan masalah keluarga

Ayu akui dia kini lebih bahagia mempunyai dua keluarga.

ANAK kepada penyanyi Nourul Wahab dan komposer Ajai, Ayu berkongsi pengalaman ketika dia berdepan dengan keputusan ibu-bapanya untuk berpisah pada usianya baharu tujuh tahun.

Ayu atau nama sebenarnya, Ayu Nazirah, 21, menerusi akaun Instagramnya berkata, dia sentiasa reda dan percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

"Saya tidak mahu menipu jika berkata ia dilalui dengan mudah tapi saya sentiasa ingatkan diri saya keluarga yang berpecah atau tidak mereka tetap keluarga saya.

"Saya masih ingat pada usia tujuh tahun ibu bapa saya buat keputusan untuk berpisah, saya tidak tahu apa akan jadi akan datang. Tapi selepas mereka berkahwin, saya lihat mereka sangat gembira dan dari situ ia menyedarkan saya," ujarnya.

Ayu berkata, sebagai anak dia tidak mahu bersikap pentingkan diri dan menyakiti hati insan yang menyayanginya.

Katanya, dia cuba untuk menerima baik dan buruk setiap perkara yang berlaku.

Ayu memberi nasihat kepada remaja yang mempunyai masalah keluarga.

"Baik atau buruk kamu perlu terima dan belajar daripada situ. Tiada perkara yang membuatkan saya kecewa tentang itu dalam kehidupan saya.

"Selepas itu adik beradik saya lahir dari kedua-dua belah pihak dan itu adalah yang saya mahu selepas sekian lama menjadi satu-satunya anak tunggal dalam tempoh masa lama.

"Saya mahu menjadi kakak terbaik dan mereka adalah sebab utama saya mahu balik ke rumah," ujarnya.

Ayu berkata, dia turut bertuah memiliki dua ibu dan bapa yang banyak mengajarnya tentang erti kehidupan.

Dalam pada itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 41, turut meluahkan rasa terharu dengan kata-kata anaknya yang memberi inspirasi kepada orang lain.

Ayu  (tiga, kiri) bersama ibunya dan bapa tiri Eric Daniel serta adik-adiknya.

Nourul berharap, kata-kata nasihat anaknya itu dapat memberi kesedaran kepada anak-anak lain yang kecewa dengan masalah ibu-bapa mereka.

"Kata-kata anak saya yang lahir daripada keluarga yang berpecah namun dia sekarang mempunyai dua keluarga yang sangat disayangi.

"Kadang-kadang ujian Allah itu ada sebabnya walaupun perit pada permulaan. Kamu ada hidup yang harus dibentuk bukan terlekat dalam masa yang memeritkan," ujarnya.

Nourul berkahwin dengan Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas pada 25 Disember 1996 dan berpisah pada 28 Februari 2007.

Ajai kemudian mendirikan rumah tangga bersama Noliza Ilias pada 15 Ogos 2009, manakala Nourul melangsungkan perkahwinan bersaam Eric Daniel Depp pada 6 Jun 2012. 

Nourul Wahab, Ayu Nazirah, Ajai

Artikel Lain