suria

Ajai kongsi foto bersama Mamat selepas 20 tahun tidak bertemu, beri bayangan konsert reunion Exists

Ajai memuat naik foto bersama Mamat selepas 20 tahun tidak bertemu. Foto Instagram @byajai

PENYANYI dan komposer Ajai mencuri perhatian apabila memuat naik gambar bersama bekas vokalis Exists iaitu Mamat yang juga rakan baiknya ketika sama-sama menyertai kumpulan itu pada 1991.

Ajai atau Mohd Faizal Maas, 43, memberitahu itu adalah pertemuan pertama mereka dalam tempoh 20 tahun selain turut berseloroh Mamat kini lebih tinggi daripadanya berbanding mula-mula mengenalinya dahulu.

"Dulu dialah yang paling kecil... Mamat sekarang dah lebih tinggi daripada 'kawan' (kita).

"20 tahun lebih kita tak ketemu dan hari ini kita ditemukan untuk melakukannya kembali," katanya.

Mamat bersama bekas vokalis Exists Ezad Lazim (kanan) dan penyanyi terkini kumpulan itu Joey Daud (kiri).

Untuk rekod, Ajai (keyboard) dan Mamat (vokalis) adalah anggota asal Exists yang ditubuhkan pada 1991 bersama empat anggota lain iaitu Musa (bass), Ujang (dram), Shah (gitar), Along (gitar).

Mereka mencipta fenomena apabila popular menerusi lagu Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara yang dipetik daripada album pertama mereka berjudul Exists yang terjual sebanyak 250,000 unit ketika itu.

Bagaimanapun Mamat mengambil keputusan meninggalkan Exists pada 1994 sebelum Ajai mengambil tindakan serupa tiga tahun kemudian.

Tempat Mamat kemudiannya digantikan oleh Ezad Lazim yang berjaya membawa nama kumpulan itu sehingga ke Indonesia.

Malah album mereka  Diammu Gunung Berapi (1995) terjual 600,000 unit di negara itu selain selain tiga lagi album mereka Mencari Alasan (1996; 750,000 unit), Buih Jadi Permaidani (1997; 600,000 unit) dan Dirantai Digelangi Rindu (1999; 100,000 unit).

Populariti Exists sejak era 1990-an tidak dapat disangkal.

Dalam pada itu, menerusi catatan (posting) sama, Ajai memberi bayangan kumpulan terkenal itu bakal kembali bersatu bersama semua anggota asal untuk sebuah konsert reunion tidak lama lagi.

Ajai turut memberitahu dia teruja dapat bertemu dengan semua anggota asal Exists selain meminta semua peminat menanti perkhabaran gembira daripada mereka.

"#existsreunion. Seronok dapat bertemu semua anggota asal. Anda semua nantikan. Saya jumpa anda apabila saya bertemu anda. #syukur #exists2019 #existsreunionconcert," tulisnya lagi.

Exists kini diterajui oleh Joey Daud selaku vokalis utama selepas Ezad mengundurkan diri pada 2007.

Ajai, Mamat, Exists

Artikel Lain