suria

Senaman bantu Sarimah Ibrahim tangani alahan ketika hamil

Sarimah Ibrahim kini sedang hamil anak pertamanya. Foto Instagam @sarimahibrahim

PELAKON dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim memberitahu dia mengalami alahan teruk sepanjang tiga bulan pertama kehamilan anak pertamanya yang adakalanya berterusan sepanjang hari.

Bagaimanapun kata Sarimah, 41, bagi mengurangkan alahan tersebut, dia mencuba aktiviti senaman yang sesuai untuk wanita mengandung dan mendapati ia membantu menghilangkan alahan tersebut.

"Saya mengalami alahan sepanjang hari hampir tiga bulan dan ia sangat sukar.

"Tetapi saya mendapati pergi ke pusat kecergasan untuk membuat senaman ringan sangat membantu menghilangkan alahan," katanya di Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: Sarimah Ibrahim tak menyangka bakal dapat anak pada usia 41 tahun


Sarimah dan suami teruja bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Pada 1 Februari lalu, Sarimah dan suami, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Kandungan Sarimah sudah pun memasuki usia empat bulan dan dia dijangka bersalin pada Julai depan.

Dalam pada itu, Sarimah memberitahu dia gemar melakukan senaman pilates yang banyak membantu memperbaiki postur badan selain melegakan sakit belakang yang sering dialami wanita hamil.

Kata Sarimah senaman itu tidak merbahaya malah mendapat saranan doktor malah bergiat aktif ketika mengandung dapat membantu mengelakkan wanita hamil terkena penyakit diabetes.

"Pilates adalah bagus untuk wanita mengandung. Doktor pun menggalakkan... Jadi jangan bimbang dan mula bersenam!

"Adalah amat penting bagi ibu mengandung menjaga kesihatan sekaligus mengelakkan penyakit diabetes ketika hamil, bersenam sudah tentunya membantu," ujarnya.

Sarimah dan Tunku Nadzimuddin yang juga kerabat Negeri Sembilan berkahwin pada 2 April 2015.

Sarimah Ibrahim

Artikel Lain