"Tak perlu minta maaf secara terbuka, mereka tak akan hargai" - Nabila Huda minta artis tidak kongsi hal perbadi di laman sosial - Hiburan | mStar

"Tak perlu minta maaf secara terbuka, mereka tak akan hargai" - Nabila Huda minta artis tidak kongsi hal perbadi di laman sosial

Nabila minta selebriti berhenti memuat naik hal peribadi di laman sosial dan hanya berkongsi kerjaya sahaja.

PELAKON Nabila Huda meminta rakan-rakan selebritinya berhenti membuat permohonan maaf secara terbuka kerana setiap manusia tidak akan lari daripada membuat kesalahan.

Nabila, 34, berkata biarpun sudah mohon maaf secara ikhlas namun perkata itu tetap tidak akan dihargai dan dicaci netizen.

"Berhentilah minta maaf secara terbuka. Untuk apa? Kenapa nak minta maaf kepada satu Malaysia? Kita manusia dan memang akan buat salah sampai mati pun kita tetap buat salah.

"Tak perlu nak minta maaf pada semua orang. Bila kita minta maaf ikhlas, mereka cakap wey senang la artis, salah saja minta maaf maaf. Apa pun minta maaf, selesai.

"Mereka tidak akan hargai setiap perkara kecil yang kita buat. Tak perlu keluarkan kenyataan apa-apa. Melainkan kalau tindakan atau kesalahan kita tu melibatkan orang lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tak kutuk orang Sabah"- Nabila Huda dikecam gara-gara perkataan 'bossku'


Luahan Nabila mengenai laman sosial pada zaman kini.

Dia berkata sedemikian menerusi laman Instagramnya dan ramai selebriti seperti Zul Ariffin, Nelydia Senrose, Sharifah Amani dan Sherry Al-Hadad mengucapkan terima kasih kepadanya yang telah bersuara bagi pihak mereka.

Nabila juga menganggap tindakan netizen mencaci dan menindas golongan artis di laman sosial semakin keterlaluan.

Menurutnya, biarpun selebriti sudah bekerja keras membuat yang terbaik namun netizen tetap mempertikaikan keburukan dan kelemahan mereka.

"Saya tak boleh berdiam diri. Ia menyakitkan. Saya tak sanggup untuk baca dan tengok rakan dalam industri ditindas. Dicaci di khalayak ramai. Yang buruknya semua datang dari kami.

"Jahat, pengaruh tidak baik dan neraka tempat kami. Saya rasa ia sudah keterlaluan. Tidak ada langsung kebaikan dari kami yang bergelar 'retis' ni. Macam mana kita boleh benarkan mereka cakap benda tidak baik fasal kita?

"Adakah mereka tahu perjuangan kita? Macam mana pula kita yang bekerja keras, jujur dengan apa yang kita buat, sepenuh jiwa dan raga kita berikan untuk buat yang terbaik tapi akhirnya yang dipertikaikan adalah keburukan dan kelemahan dari kita," katanya.

Kata Nabila, selebriti juga adalah manusia biasa yang membuat kesalahan, perkara jahat dan mempunyai keluarga serta agama seperti orang lain namun yang membezakan mereka dikenali.

Beberapa selebriti tempatan turut menyokong Nabila.

"Selama ini kita buat yang terbaik, ini cara anda hargai kami? Ia tidak adil. Oh memang nak kena tunjuk yang baik saja semua?

"Barulah disayangi rakyat Malaysia? Korang dengan falsafah korang boleh pergi mamp**! Kami manusia juga, kami buat salah, buat benda jahat, menyesal, jatuh cinta.

"Kami lakukan banyak perkara untuk membuatkan hati kami gembira. Kami ada keluarga. Kami ada agama. Cuma bezanya adalah kami dikenali. Tapi itu tidak bermaksud kami perlu jadi sempurna untuk anda," ujarnya.

Dalam pada itu, Nabila turut meminta rakan-rakannya selepas ini hanya berkongsi mengenai kerjaya sahaja tanpa perlu memuat naik apa-apa berkaitan dengan kehidupan peribadi.

"Mulai hari ini dan seterusnya, berhentilah muat naik apa-apa yang berkaitan dengan kehidupan peribadi kita di laman sosial. Kongsi sedikit di laman sosial boleh membantu.

"Kongsi saja fasal kerja, projek kita seterusnya. Semuanya berkenaan dengan kerjaya kita. Mereka tidak layak untuk tahu tentang diri awak sebenar! Sikit pun tak jaga perasaan kita.

"Bila kita salah, bertubi-tubi kita kena caci. Diaibkan depan orang ramai. Bukan itu saja, siap tentukan kita masuk syurga atau neraka," katanya.

Laman sosial Nabila telah diserang netizen gara-gara meminta ornag ramai berhenti bercakap dengan perkataan 'bossku' pada Ahad.

Nabila Huda

Artikel Lain