suria

"Luruh jantung tengok Bambam di tepi jalan kaku tak bernyawa lagi" - Aishah

Aishah sedih kehilangan kucing kesayangannya bernama Bambam.

PENYANYI Aishah meluahkan rasa sayu apabila kucing kesayangannya, Bambam mati dipercayai dilanggar di kawasan perumahannya pada pagi, Jumaat.

Aishah berkata dia tidak sanggup melihat keadaan Bambam yang sudah dianggap seperti keluarganya itu dalam keadaan kaku dan tidak bernyawa berada di tepi jalan.

"Semalam kami balik rumah, rupanya dia terlepas juga semasa boys (anak-anak Aishah) keluar. Malam tadi memang hati tak sedap, hampir pukul 4 pagi  bangun dan turun panggil dia dan keluarkan makanan dia.

"Tapi selalunya lepas dua hari dia pasti balik. Jadi kami tinggalkan saja makanan di luar rumah. Pagi ini jiran menelefon beritahu Bambam di langgar depan rumah jiran dua pintu dari kami.

"Luruh jantung ni, melihat Bambam di tepi jalan kaku tak bernyawa lagi. Allahu, Bambam tiada lagi, Bambam adalah sebahagian keluarga kami," katanya.

Kucing kesayangan Aishah mati di langgar.

Aishah turut berkongsi beberapa foto Bambam yang diambilnya sebelum kucing itu mati menerusi laman Instagram.

Menurut juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ini dia sudah menjaga Bambam sejak 2013 dan akan sentiasa mengikutinya ke mana sahaja.

Disebabkan Aishah tidak sampai hati untuk memandulkan kucingnya, dia hanya membiarkan haiwan kesayangangannya itu berjalan-jalan di kawasan kejiranannya.

"Dari 2013 Bambam diberi pada kami, dia memang anggap I betul-betul mum (mak) dia, mana pergi je dia akan ikut. Bila Bambam dah besar mum tak sampai hati nak kasi Bambam.

"Jadi mum buat keputusan bagi Bambam keluar. Dan dia akan balik kelaparan dan mum akan selalu mandikan dia. Sebelum ke hotel untuk persembahan, dia merayu-rayu minta keluar.

Aishah menjaga Bambam selama enam tahun.

"Manja terlebih asyik-asyik tergolek asyik tergolek manja. Kami siap cakap pada Bambam kalau nak keluar lebih baik masa kami ada rumah, senang apa-apa hal kami boleh cari," ujarnya.

Dalam pada itu, Aishah reda pemergian Bambam yang dipanggil Adik dan berterima kasih kepada Allah yang meminjamkan kucing itu kepadanya selama enam tahun.

"Kini Bambam dah pergi, my baby. Sebelum ini bila kami panggil 'adik' dia menyahut. Itulah kehidupan, yang kita sayang Allah boleh ambil bila-bila masa saja.

"Jadi jangan ambil kesempatan pada sesuatu atau orang untuk kepentingan. Ucapkan kasih sayang kerana kita tak tahu bila ucapan kasih terakhir yang kita ungkapkan," katanya.

"Ya Allah, terima kasih meminjamkan Bambam kepada kami untuk enam tahun dengan kami. Semoga kita berjumpa di sana nanti," katanya.

Aishah, Bambam

Artikel Lain