Tiket dah habis untuk dua persembahan Aliff Satar di UK - Hiburan | mStar

Tiket dah habis untuk dua persembahan Aliff Satar di UK

Alif bakal ke United Kingdom untuk mengadakan dua persembahan di sana pada Februari ini.

PENYANYI dan pengacara Alif Satar bakal mengadakan persembahan jelajah di United Kingdom (UK) pada pertengahan Februari depan.

Alif berkata, pemergiannya ke UK atas jemputan penuntut Malaysia di negara itu dan dia akan mengadakan persembahan di dua buah bandar iaitu Bristol dan Sheffield.

"Insya-Allah jika tiada sebarang halangan saya akan berangkat ke UK untuk mengadakan dua persembahan jelajah untuk penuntut dan rakyat Malaysia yang berada di UK.

Alif teruja dapat menghiburkan peminat di UK.

"Sebenarnya sudah agak lama mereka meminta saya ke sana tetapi kekangan masa dan jadual padat membuatkan saya tidak berkesempatan menerima undangan itu.

"Namun Alhamdulillah, tahun ini saya dapat menerima jemputan daripada mereka dan berharap kedatangan saya nanti dapat memberi kegembiraan kepada peminat yang hadir," katanya yang bakal berangkat ke UK pada 13 hingga 19 Februari depan.

Dalam pada itu, Alif berkata, dia bersetuju untuk menerima undangan itu kerana mahu menghargai peminat selain hendak menghiburkan mereka yang mungkin merindukan Malaysia.

"Ini juga sebagai satu bentuk penghargaan saya kepada mereka kerana kita tidak tahu apa yang dialami atau dirasai mereka sepanjang berada di luar negara.

Alif dan Sherry bertindak sebagai hos Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) pada 3 Februari ini.

"Saya yakin kehadiran saya yang akan menyampaikan lagu-lagu berbahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengubat kerinduan mereka kepada tanah air," ujarnya.

Tambah Alif, dia juga gembira apabila tiket untuk menyaksikan persembahannya di dua buah bandar itu sudah pun habis terjual.

Sementara itu, Alif berkata, pemergiannya ke UK turut ditemani oleh band yang akan mengiringi persembahannya menerusi lebih 10 buah lagu.

Alif Satar

Artikel Lain