suria

Pelakon era 1990-an, Mior Ahmat Zaudi meninggal dunia

Mior Ahmat Zaudi meninggal dunia pada Selasa.

KEDATANGAN 1 Januari 2019 membawa khabar duka buat penggiat seni tempatan apabila pelakon era 1990-an, Mior Ahmat Zaudi meninggal dunia pada pukul 5.40 pagi Selasa.

Anak saudaranya, Mior Azizul memberitahu Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas dimasukkan ke hospital itu sejak Jumaat lalu.

"Dukacita dimaklumkan Pak Ngah saya telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.40 pagi tadi.

"Mohon saudara-saudari sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah... Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Amin," tulisnya di Facebook.

Terdahulu, Mior Azizul memaklumkan bapa saudaranya itu berada dalam keadaan kritikal akibat masalah jantung.

Sementara itu, jenazah akan dimandi dan disolatkan di Masjid Nurul Ihsan, Cheras sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana selepas solat Zohor.

Mior, 66, pernah popular menerusi drama bersiri slot Spektra di TV2 pada pertengahan 1990-an selain pernah membintangi filem Momok arahan M Jamil pada 2009.

Mior Ahmat Zaudi, Spektra

Artikel Lain