suria

Video lucah Syafiq Kyle, Ziana Zain cerai dan Neelofa lancar tudung di kelab antara 10 kisah ‘hot’ 2018

Ziana dan Neelofa antara nama yang hangat sepanjang tahun 2018.

DUNIA hiburan tidak pernah sepi dengan cerita-cerita panas dan antara nama yang mendapat perhatian sepanjang 2018 ialah mengenai Neelofa, Syafiq Kyle serta Farid Kamil. 

mStar Online menyenaraikan 10 perkara menarik yang berlaku sepanjang tahun ini.

Kes Farid Kamil menjadi perhatian dan kontroversi pada awal tahun 2018.

1. Kes jenayah Farid Kamil

Permulaan 2018 menyaksikan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil ditahan selepas dipercayai mengamuk dan menyerang seorang anggota polis termasuk dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Malah, pelakon itu disahkan positif dadah jenis ganja selepas menjalani saringan air kencing yang dijalankan selepas dia ditahan.

Bagaimanapun sehingga kini, kes melibatkan pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu masih dalam proses perbicaraan mahkamah.

Berita putus tunang Elfira dan Sufian antara yang hangat diperkatakan.

2. Elfira Loy dan Sufian Suhaimi putus tunang

Isu ini antara yang hangat sehingga ia menjadi laporan utama media-media tempatan. Ikatan pertunangan Elfira Loy dan Sufian Suhaimi terputus di tengah jalan apabila keluarga aktres itu memulangkan cincin pertunangan mereka kepada keluarga Sufian.

Perpisahan itu telah menjadi perhatian dan bualan hangat netizen di laman sosial yang rata-ratanya terkejut dengan berita tersebut  memandangkan mereka sepatutnya berkahwin pada Mac.

Elfira kemudiannya mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka dikenali sebagai Faris pada 2 September lalu dan pasangan itu dikatakan bakal bernikah pada 1 Januari 2019.

Pelancaran tudung pengacara Neelofa menjadi topik panas sekitar Februari lalu.

3. Neelofa lancar tudung di kelab malam

Nama selebriti Neelofa antara yang menjadi sebutan sepanjang tahun 2018 sama ada kontroversi yang melibatkannya dan juga pencapaian dalam kerjayanya.

Antara kontroversi yang menjadi bualan hangat di laman sosial ialah Neelofa melancarkan koleksi hijab terbaharunya, Be Lofa di sebuah kelab malam pada 26 Februari 2018.

Tindakan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Biarpun terpalit dengan beberapa kontroversi, Neelofa tetap menjadi salah seorang selebriti yang berjaya mencipta nama peringkat antarabangsa termasuk dipilih sebagai model sebuah agensi terkenal Established Model (EST) yang berpangkalan di London.

Syafiq terkait video panas sekitar bulan Mei lalu.

4. Gambar, Video bogel artis lelaki tempatan

Tahun ini menyaksikan trend penyebaran gambar dan video kurang sopan mirip beberapa artis lelaki tempatan di laman sosial malah sebuah video dipercayai mirip pelakon Syafiq Kyle dijual pada harga RM20 ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Sebelum video mirip Syafiq Kyle, pelakon Zul Ariffin berhadapan dengan situasi sama apabila akaun Instagramnya digodam pihak tertentu dan memuat naik gambar kemaluan.

Selain Zul dan Syafiq, antara selebriti yang turut melalui kontroversi yang sama iaitu Ammar Alfian, anak lelaki pelakon Rozita Che Wan iaitu Ammar Effendy, Ikmal Amri, Ameer (Forteen), Juzzthin, Ridzuan Hashim dan Idris Khan.


Siti Aafiyah lahir pada 19 Mac 2018.

5. Lahirnya permata hati pertama Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah

Selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan pasangannya Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa menimang cahaya mata pertamanya pada 19 Mac 2018.

Bayi perempuan yang diberi nama Siti Aafiyah itu menjadi penyeri hidup dan anugerah paling berharga buat penyanyi kesayangan Malaysia itu.

Filem Munafik 2 dan Hantu Kak Limah menjadi fenomena dan mendapat kutipan luar biasa. 

6. Fenomena Hantu Kak Limah, Munafik  dan Nur

Filem dan drama antara yang mencuri perhatian masyarakat sepanjang tahun 2018. Filam Munafik mendapat kutipan 40 juta, manakala Hantu Kak Limah sebanyak 37.5 juta.

Sementara itu drama Nur lakonan Amyra Rosli dan Syafiq Kyle turut mencuri tumpuan apabila menjadi trending di laman sosial Twitter sepanjang 18 episod bersiaran.

Filem dan drama tersebut menjadi penanda aras tertinggi yang perlu dicapai pada tahun hadapan.

Sokongan terhadap Zamani sepanjang program Gegar Vaganza 5 cukup luar biasa.

7. Kemunculan semula Amelina, Zamani selepas Gegar Vaganza dan bakat baru Sarah Suhairi, Syafiq Farhain

2018 memberi kenangan manis kepada penyanyi Zamani Slam dan ratu dangdut Amelina apabila nama mereka kembali sebutan selepas menyertai program Gegar Vanganza 5.

Manakala, program Big Stage berjaya memberi peluang kepada bakat baharu seperti Sarah Suhairi dan Syafiq Farhain untuk menyinar.

Pelamin ketika majlis pernikahan Yuna dan Adam mendapat perhatian.

8. Pelamin Yuna, rahsia kahwin Pekin dan Mona Allen

Tahun 2018 turut menyaksikan beberapa artis mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan mereka antaranya Elvina Muhammad, Dynas Moktar, Natasha Hudson, Nita Hamzah dan Kaka Azraf.

Majlis pernikahan penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna dan pasangannya, Adam Yousof Mohamed Sinclair, 34, pada 26 Januari lalu antara yang mendapat perhatian.

Pasangan itu dinikahkan di Puncak Rimba, Bentong yang berlatarbelakangkan pergunungan kira-kira pukul 7 malam dengan sekali lafaz.

Majlis indah dengan pelamin berlatar belakangkan pergunungan ternyata berjaya menjadikan perkahwinan itu sebagai sesuatu yang diingati sepanjang tahun 2018.

Pekin dan Mona diijab kabul pada 7 Disember dalam sebuah majlis tertutup.

Sementara itu, pasangan pelakon Pekin dan Mona Allen turut menjadi sebutan apabila mereka memilih untuk merahsiakan pernikahan tersebut daripada pihak media.

Pasangan tersebut melangsungkan pernikahan pada 7 Disember lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Berita perkahwinan pasangan itu didedahkan oleh rakan artis dan jurusolek yang tahu mengenai majlis berkenaan.

Zaibo meninggal dunia pada 14 November 2018.

8. Perginya bintang seni

Tahun ini juga menyaksikan industri hiburan tempatan kehilangan ramai penggiat seni seperti pelakon, Azmil Mustapha, Khalid Salleh, Nizen Ayob, Nurin Misha, Acappan, Azreen Manan dan terbaharu Radzi dari kumpulan Melissa.

Bagaimanapun pemergiaan pengacara terkenal Datuk Mahadzir Lokman 3 Ogos 2018 yang ditemui tidak bernyawa di sebuah bilik hotel di Shang Ri La, Tanjung Aru, Kota Kinabalu mengejutkan peminat.

Begitu juga dengan pejuang irama tradisional, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang meninggal dunia ketika berada di Tanjung Pinang, Batam, Indonesia atas urusan kerja pada 25 September 2018.

Pemergian Datuk Mahadzir Lokman dan komposer Pak Ngah turut mengejutkan dunia hiburan.

Dunia hiburan sekali dikejutkan dengan berita kematian penyanyi terkenal Saleem pada 14 Oktober 2018 selepas 22 hari dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya.

Belum reda kesedihan peminat dengan berita pelakon Zaibo mendedahkan dia menghidap kanser esofagus tahap empat, peminat sekali menerima berita kematiannya pada 14 November 2018.

Ziana dan Armin bercerai selepas 20 tahun hidup berumah tangga.

9. Ziana Zain akhirnya bercerai selepas 20 tahun berkahwin

Seperti tahun-tahun sebelum ini, industri hiburan tempatan tidak pernah sepi dengan berita perceraian pasangan selebriti termasuk Deja Moss, Natasha Hudson dan Nazim Othman dan Bella Daly.

Pun begitu, paling mendapat perhatian peminat adalah perceraian penyanyi terkenal Ziana Zain dengan bekas suami, Armin Zaharin pada 12 Julai selepas 20 tahun hidup berumah tangga.

Keretakan rumah tangga mereka berlaku selepas Ziana membuat laporan polis terhadap Armin yang didakwa memukul salah seorang anak mereka sehingga cedera.

Rentetan itu juga, Ziana mendedahkan rumah tangganya sudah lama bermasalah namun dia bertahan demi anak-anaknya.

Kes melibatkan Armin di mahkamah berhubung isu pukul anak mereka masih dibicarkan di mahkamah.

Fasha dan Aidil pada hari pertunangan mereka.

10. Fasha Sandha, Aidil Aziz bertunang

Aktres terkenal Fasha Sandha akhirnya menamatkan spekulasi mengenai hubungannya dengan pelakon Aidil Aziz apabila mereka mengikat tali pertunangan pada 18 November.

Apa yang menarik perhatian apabila bekas suami Fasha, Rizal Ashram Ramli atau Jejai turut mengucapkan tahniah kepada pasangan itu dan berpesan agar mereka segera mendirikan rumah tangga.

Mereka mempunyai dua cahaya mata bersama iaitu Putra Rayfal, 4 dan Putri Raysha Jemyma, 3 tahun.

Selebriti lain yang turut melangsungkan pertunangan adalah Sufi Rashid dan Eyra Razali.

Mudah-mudahan tirai tahun baharu 2019 nanti akan diserikan dengan cerita-cerita lebih indah berbanding kontroversi.

Artikel Lain