suria

23 tahun selepas ditubuhkan, Bangsar Residents Band (BRB) muncul dengan single pertama

Selepas 23 tahun ditubuhkan kumpulan Bangsar Residents Band (BRB) tampil dengan single pertama mereka yang berjudul Gelora Jiwa.

HANYA selepas 23 tahun ditubuhkan, kumpulan kugiran yang menggelarkan diri mereka Bangsar Residents Band (BRB) tampil dengan single pertama pertama mereka berjudul Gelora Jiwa.

Pemain gitar kedua BRB, Jackhusni, 37, berkata, mereka mengambil tempoh lama untuk tampil dengan lagu sendiri kerana tidak mempunyai peluang menempatkan diri dalam industri muzik sebelum ini.

"Sejak di awal kemunculan kami sebagai sebuah kumpulan ada juga cuba menempatkan diri tapi tiada peluang selain rezeki tidak berpihak kepada kami ketika itu.

"Pun begitu kami tetap aktif bermain muzik secara busking bukan sahaja di Bangsar tetapi sekitar Lembah Klang selain persembahan pentas.

Belum terlewat untuk BRB melancarkan single pertama mereka.

"Alhamdulillah pertemuan dengan ahli kumpulan Revolvers, Anuar Razak pada awal tahun ini menjadi titik tolak kepada BRB apabila beliau menawarkan untuk berkerjasama bagi membolehkan kami mengorak langkah dalam bidang muzik," katanya.

Jackhusni ditemui pada majlis pelancaran Gelora Jiwa berserta muzik video lagu tersebut yang diadakan pada Isnin.

Selain Jackhusni, BRB turut dianggotai oleh Ayob (vokalis), Lan (drum), Ara (gitar utama) dan Majid (bass).

BRB dianggotai oleh (dari kiri) Ara, Majid, Ayob, Jackhusni dan Lan. 

Bercakap mengenai Gelora Jiwa, Jackhusni berkata, dia bertanggungjawab sebagai komposer dan penulis lirik lagu tersebut dan apa yang menarik ia disiapkan hanya dalam masa 20 minit.

Katanya, susunan lagu itu turut mendapat sentuhan daripada Anuar sendiri yang mengangkat muzik rock progresif sesuai dengan perjuangan mereka yang ingin mengembalikan kegemilangan genre itu dalam kalangan pendengar.

"Jujurnya berdiri kami di sini bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi atau kumpulan sedia ada tetapi sekadar mempelbagaikan citarasa dan halwa telinga penggemar muzik tempatan.

"Alhamdulillah urusan menghasilkan Gelora Jiwa dipermudahkan dan besar harapan kami agar lagu ini mendapat sambutan baik dalam kalangan pendengar," katanya.

Artikel Lain