suria

Tersingkir DAA4, Wani Kayrie tetap bangga dengan pencapaian

Wani mahu menyertai pertandingan sebanyak yang dia mampu.

PENYANYI Wani Kayrie berasa bangga dengan dirinya biarpun dia tidak berjaya meneruskan perjuangan dalam pertandingan D'Academy Asia 4  (DAA4) di Indonesia.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 18, berkata dia tidak berasa kecewa kerana berada di top 15 bukanlah sesuatu yang mudah buatnya.

"Sebenarnya saya tak kecewa pun sebab untuk sampai ke top 15 ini pun bukan sesuatu yang mudah. Tak sangka dapat terpilih sampai ke tahap itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie hadapi tekanan pilih lagu sendiri


Wani bangga dengan pencapaian dirinya.

"Saya rasa bangga dengan diri sendiri kerana untuk seorang penyanyi bergenre pop nak tukar ke dangdut bukan mudah. Bangga dengan pencapaian saya.

"Di situ saya tahu di mana kemampuan diri dan tak sangka saya mampu sampai ke tahap sekarang ini," kata Wani kepada mStar Online.

Selain Wani, penyanyi Sarah Fazny, Fauziah Gambus, Zam Ryzam, Tyka Zatyka dan Adli Shazwi turut mewakili Malaysia di pertandingan tersebut.

Bagaimanapun, perjalanan Wani, Sarah dan Adli Shazwi berakhir di Liga Dangdut itu dan mereka sudah pun pulang ke Malaysia pada Khamis.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Jangan Jangan ini memberitahu peminatnya turut berasa sedih kerana mengharapkannya untuk melepasi top 10.

Wani dan Sarah tidak dapat teruskan perjuangan di Liga Dangdut.

Namun, peminat tahu penyanyi kesayangan mereka itu sudah berusaha dan melakukan yang terbaik serta menganggap tidak ada rezeki di sana.

"Peminat memang sedih sebab mereka harap saya lepas ke top 10 kalau boleh. Tapi mereka tahu usaha saya untuk belajar dangdut bukan mudah.

"Selepas tamat program Big Stage saya terus terbang ke Indonesia tanpa ada persiapan yang secukupnya. Mereka tahu kemampuan saya.

"Insya-Allah kalau boleh saya nak masuk pertandingan sebanyak yang mampu sebab saya suka bersaing, suka kumpul pengalaman dan kenalan," ujarnya.

Wani Kayrie, D'Academy Asia 4

Artikel Lain