suria

Bukan berlagak diva tapi sudah tiba masanya Ernie Zakri katakan 'tidak'!

Ernie sudah nampak hala tuju kerjaya nyanyiannya. Foto: M. AZHAR ARIF

PENYANYI Ernie Zakri mengakui kelewatan perjalanan kerjaya nyanyiannya dalam industri muzik berpunca daripada dirinya sendiri.

Ernie, 26, berkata apa yang dilakukan dahulu disebabkan dia terlalu mengikut kata orang lain sehingga tidak tahu berkata 'tidak'.

"Sudah setahun lebih juga saya rasa kenapa saya macam ni, apa yang membuatkan saya lambat dalam industri. Semua benda itu datang daripada saya sendiri.

"Apa yang saya lakukan dahulu mungkin disebabkan saya terlalu mengikut kata orang. Orang suruh nyanyi dan pakai macam itu, saya ikut sahaja.

"Bukan didera tapi dari segi emotional saya tidak tahu nak cakap 'tidak'dan apa yang dilakukan tanpa seikhlas hati menyebabkan ia tidak berjaya." kata Ernie kepada mStar Online.


Ernie akui kelewatan namanya dikenali dalam industri disebabkan dirinya.

Pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri ini ditemui ketika majlis pelancaran single terbaharunya, Ku Bersuara, di Pintu Old Malaya, Kuala Lumpur pada Rabu.

Menurut Ernie, dia mendapat keyakinan untuk 'bersuara' selepas Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) awal Februari lalu selepas melihat secara jelas hala tujunya dalam industri.

"Saya dapat keyakinan untuk cakap 'tidak' selepas AJL. Bukanlah nak kata diva. Dari situ timbul keberanian sebab saya dah nampak jalan macam mana hala tuju dalam industri.

"Semua saya susun sendiri bersama pihak pengurusan baharu. Saya nampak mereka suka dengan idea-idea saya. Malah, mereka juga terbuka dan mendengar pendapat saya.

Ernie tampil dengan single terbaharu, Ku Bersuara.

"Sebabnya mereka percaya dengan saya. Saya percaya setiap penyanyi perlu tahu hala tuju lagu dan imej mereka dengan bantuan pengurusan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ernie mengambil apa yang terjadi sebagai pengajaran yang membawanya kini dan menjadikan dia lebih baik menghadapi realiti industri muzik.

"Saya anggap benda yang lama tu secara positif. Benda tu mengajar untuk membawa saya sekarang ni. Saya beruntung tempoh yang agak lama dalam industri mengajar saya untuk hadapi realiti industri muzik.

"Bukan apa yang dilihat yang indah sahaja. Untuk kekal dalam industri kena pandai dari segi strategi dan hala tuju.

"Ada cara yang lebih baik untuk kata 'tidak'. Setiap perkara pasti ada jalan penyelesaian," katanya.

Ernie Zakri

Artikel Lain