"Jodoh bukan sesuatu untuk dikejar" - Rossa belum bersedia untuk berkahwin - Hiburan | mStar

"Jodoh bukan sesuatu untuk dikejar" - Rossa belum bersedia untuk berkahwin

Rossa memikirkan kehidupan akan berubah sekiranya dia berkahwin. Foto: AZLINA ABDULLAH.

PENYANYI Datuk Seri Rossa mengakui dia belum memikirkan soal kahwin memandangkan keutamaannya adalah kebahagian ibu dan bapanya.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 40, berkata dia tidak dapat membayangkan diri dan kehidupannya sekiranya sudah mempunyai suami.

"Buat masa sekarang memang saya tak fikir soal kahwin. Memanglah orang tua saya sudah berusia tapi saya lebih senang memikirkan kebahagian mereka.

"Saya tak dapat nak bayangkan macam mana kehidupan kalau sudah berkahwin dan sudah tentu berubah sepenuhnya. 

Rossa masih utamakan kebahagian ibu dan bapanya.

"Semua Allah sudah tentukan. Ada orang jodohnya panjang, ada juga belum ditemukan jodoh. Apa sahaja yang Allah berikan, saya akan terima sahaja. Jodoh itu bukan sesuatu untuk dikejar," katanya kepada mStar Online.

Rossa ditemui ketika majlis makan tengah hari bersama rakan-rakan media di Suka Sukce Bistro, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Tambah penyanyi lagu Pudar ini, dia tidak terlalu berharap untuk ditemukan jodoh dalam masa terdekat.

Rossa akan setuju untuk berkahwin sekiranya Kim Soo-hyun melamarnya.

"Sejujurnya, saya tak berharap sangat untuk ditemukan dengan jodoh buat masa sekarang. Saya reda sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Rossa sempat berseloroh mengatakan dia akan setuju untuk berkahwin dalam masa yang singkat sekiranya pelakon Korea Kim Soo-hyun melamarnya.

"Saya sudah ada teman lelaki. Tapi hanya dalam dunia fantasi sahaja la iaitu pelakon Korea Kim Soo-hyun.

"Kalau dia yang ajak saya kahwin, waktu itu juga saya akan setuju dan sekarang juga saya nak adakan majlis perkahwinan itu," katanya.

Rossa , Kim Soo-hyun

Artikel Lain