suria

“Tak kisah la nak panggil minah rempit” - Dayana Roza

Dayana Roza tidak kisah digelar ikon 'minah motor'. Foto: NORAFIFI EHSAN

PELAKON Dayana Roza memberitahu penyertaannya dalam kelab permotoran, Spark Malaysia Club (SMC) menyebabkan beberapa teman rapat mengusiknya dengan panggilan 'minah rempit'.

Bagaimanapun, Dayana, 27, berkata dia tidak kisah dengan gelaran itu kerana niatnya bergiat aktif dalam kelab tersebut adalah untuk kebaikan bersama.

"Sejak berlakon dalam filem Minah Moto dan sertai SMC ada kawan-kawan panggil saya rempit tapi saya tak kisah pun dengan gelaran itu.

"Saya sertai kelab ini sebab ada banyak manfaat serta faedah untuk pengguna motor di Malaysia. Kita nak bawa mereka ke arah kebaikan lebih-lebih lagi golongan yang terbabit dengan gejala negatif tersebut.

"Iyalah, bila jadi pengguna motosikal sahaja orang gelar rempit, dilabel jahat. Hakikatnya nak buat jahat ni tak kira sesiapa pun. Jadi, saya tak kisah jika digelar ikon minah motor sekalipun," katanya kepada mStar Online.

Dayana mahu bantu wanita terlibat aktiviti permotoran tidak bermoral.

Aktres ini merupakan antara selebriti yang akan turut serta dalam karnival permotoran dan kebudayaan, Spark Gathering & Jungle Town Karnival 2018 yang akan berlangsung di Lapangan Terbang Gerik, Perak pada 29 dan 30 Disember ini.

Selain Dayana, bintang popular lain yang akan turut menyertai acara tersebut ialah Zul Huzaimy, Datuk Farid Kamil, Cat Farish, Jaa Suzuran, Mamat (Sepah).

Sementara itu, pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia ini memberitahu ingin membantu golongan wanita terutamanya remaja yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral tersebut.

Barisan selebriti yang terlibat dalam karnival permotoran Disember ini.

"Sekarang ini ramai wanita yang berminat dengan motor. Selalunya remaja ini mengikut teman lelaki dan ada yang buat perkara yang tidak berfaedah.

"Justeru ini, kita mahu membantu mendidik mereka mengenai banyak perkara dan beri kursus yang bersesuaian dengan minat. Contohnya, kalau mereka minat memasak, kita bagi kursus memasak dan apa-apa sahaja kemahiran yang mereka suka.

"Kebanyakan mereka ini baik, cumanya mungkin masalah peribadi membuatkan mereka terlibat dengan aktiviti merbahaya tersebut. Jadi, apa boleh bantu, kita akan bantu," katanya.

Spark Malaysian Club (SMC) merupakan satu pertubuhan yang diasaskan oleh pelakon Zul Huzaimy bermatlamat untuk menyatukan semua pengguna motosikal di Malaysia.

Dayana Roza

Artikel Berikut

Artikel Lain