suria

Keuntungan Paskal TLDM terima RM100,000

Pelabur filem Paskal memberikan sumbangan kepada Tabung Kebajikan TLDM.

KUALA LUMPUR: Pelabur filem Paskal memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Tabung Kebajikan TLDM pada Malam Penghargaan Paskal yang diadakan di Hotel Majestic, di sini, pada Rabu.

Pengarah filem aksi ketenteraan itu, Adrian Teh berkata, sumbangan tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kru Paskal kepada unit tentera yang memberi sokongan sepanjang mereka menjalani penggambaran.

"Pihak kami memberi sumbangan kepada TLDM sebagai tanda penghargaan mereka yang memberi sokongan selain memberi kepercayaan untuk kami menghasilkan filem ini.

"Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan kebajikan anggota TLDM serta keluarga mereka," katanya kepada mStar Online.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad kamarulzaman sempena filem itu mendapat catatan RM30 juta.

Turut hadir pada majlis itu ialah tetamu kehormat iaitu Panglima Paskal, Laksamana Pertama Anuar Alias, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany dan isteri serta Panglima Paskal, Laksamana Pertama Anuar Alias.

Filem Paskal dibintangi barisan pelakon seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Gambit Saifullah, Taufiq Hanafi, Theeban G, Henley Hii, Hafizul Kamal, Jasmine Suraya Chin, Namron, Amerul Affendi dan Datuk Eizlan Yusof.

Mula ditayangkan pada 27 September lalu di pawagam seluruh negara, Paskal berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM2 juta pada hari pembukaannya.

Untuk rekod, filem yang diinspirasikan daripada kisah benar itu melengkapkan catatan kutipan keseluruhan sebanyak RM30 juta.

Paskal

Artikel Lain