Rumah tangga Mia Ahmad diuji, suami dituduh curang - Hiburan | mStar

Rumah tangga Mia Ahmad diuji, suami dituduh curang

Pelakon Mia Ahmad dan penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan berkahwin pada Januari tahun lalu.

PETALING JAYA: Rumah tangga pelakon Mia Ahmad dan Mohd Izham Tarmizi Roslan diuji ketika si isteri sedang berpantang selepas melahirkan anak pertama mereka pada 28 September lalu.

Namun penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu tegas menepis dakwaan kononnya dia berlaku curang selepas sepasang kekasih membuat tuduhan tersebut yang disifatkannya sebagai berniat jahat.

Izham berkata, sehingga saat ini dia tidak mengetahui apakah motif pasangan itu menuduhnya curang sedangkan dia tidak pernah mengenali wanita yang juga kekasih lelaki tersebut.

"Ingin saya tegaskan saya tidak mengenali wanita dimaksudkan mahupun teman lelakinya malah saya tidak tahu apa motif mereka menuduh saya curang dibelakang Mia.

Izham dan Mia baharu sahaja menimang cahaya mata.

"Apa yang saya nampak motif mereka mahu memporak-perandakan rumah tangga kami dan saya jadi sasaran mungkin kerana orang kenal kami," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Mia menerusi Instagram memuat naik entri yang memberi gambaran seolah-olah perkahwinannya dengan Izham sedang dilanda masalah.

Pelakon drama bersiri Hati Perempuan itu turut bertindak memadam semua gambar suaminya daripada laman sosial itu.

"Allah menghantar seseorang dalam hidup ini bersebab dan menyingkirkannya untuk alasan lebih baik," tulisnya.

Enggan cepat melatah, Izham berkata, dia akan menyiasat terlebih dahulu masalah yang timbul sebelum mengambil sebarang tindakan seperti membuat laporan polis.

Comel... Sayf Issa penyeri hidup Mia dan Izham.

Fokusnya kini kata Izham adalah untuk memberi perhatian kepada Mia yang sedang berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka selain menyelesaikan perkara tersebut sesama mereka terlebih dahulu.

"Alhamdulillah Mia dalam keadaan tenang sekarang... Dia ada bersama saya dan anak.

"Saya sudah menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dan fokus saya sekarang adalah untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.

"Sekarang nampak seperti saya yang bersalah walaupun sebaliknya yang berlaku... Saya tidak akan mengalah bagi memulihkan keadaan," katanya.

Pasangan ini berkahwin pada 13 Januari 2017 selepas setahun berkenalan dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Sayf Issa pada 28 September lalu.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Bekas pemain Manchester United bersara

Bidaan nombor ALL 1 paling top!