“Ini pertandingan, tak adil bagi peserta yang buat persembahan terbaik” - Farahdhiya - Hiburan | mStar

“Ini pertandingan, tak adil bagi peserta yang buat persembahan terbaik” - Farahdhiya

Farahdhiya anggap tidak adil sekiranya tiada penyingkiran pada malam konsert GV.

MINGGU kelima konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang berlangsung pada malam, Ahad menyaksikan penyanyi Zamani diselamatkan daripada penyingkiran.

Keputusan penaja utama program tersebut, Datuk Seri Aliff Syukri menggunakan imuniti untuk Zamani kekal pada minggu hadapan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen bersetuju Aliff menggunakan peluang tersebut untuk membolehkan Zamani terus bertanding selepas mengalami masalah peti suara pada malam itu.

Bagaimanapun, penyanyi Farahdhiya, 34, tidak bersetuju dan menganggap ia tidak adil bagi peserta lain yang telah membuat persembahan terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN: Peti suara koyak punca Zamani 'membisu' di pentas GV5


Farahdhiya membalas komen netizen di laman sosial.

"Tapi ini adalah pertandingan, ia tidak adil kepada peserta yang lain melakukan persembahan dengan baik.

"Seseorang mesti dikeluarkan sebab ini pertandingan. Mereka perlu berlaku adil kepada peserta yang melakukan yang terbaik," kata Farahdhiya.

Farahdhiya atau Farahdhiya Mohamed Amin memberi kenyataan itu selepas seorang netizen di laman Twitter memuat naik status mengharapkan tiada penyingkiran pada konsert itu.

Dalam persaingan minggu kelima GV5 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Zamani gagal membuat persembahan kerana peti suaranya koyak.

Biarpun penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu tidak dapat meneruskan persembahannya namun peminat memberi sokongan dengan menyanyikan lagu tersebut sehingga tamat.

Namun, Farahdhiya turut memahami apa yang dilalui Zamani memandangkan dia juga pernah mengalami masalah kehilangan suara ketika menyertai GV musim kedua.

Menurutnya, dia pernah meluahkan rasa ingin berhenti daripada meneruskan persembahan namun juri tetap, Datuk Ramli MS tidak membenarkannya.

Faradhiya juga mendoakan agar Zamani cepat sembuh daripada penyakitnya dan memuji keberanian penyanyi itu tampil di pentas biarpun tidak dapat membuat persembahan.

Farahdhiya memahami keadaan Zamani kerana dia pernah mengalami masalah kehilangan suara ketika GV2.

Sementara itu, ada netizen mempersoalkan semula rezeki Farahdhiya yang berjaya ke peringkat akhir GV musim kedua biarpun pada minggu separuh akhir itu dia tidak melakukan persembahan dengan baik disebabkan tidak sihat.

Menurut penyanyi lagu Bertahta Di Hati ini, keadaan kesihatannya ketika itu bukan dibuat-buat dan sudah menjadi rezeki apabila juri profesional memilihnya untuk ke peringkat seterusnya.

"Sakit betul dan alasan adalah dua benda yang berbeza ya. Saya sakit bukan dibuat-buat. Dan saya berada tangga kedua di bawah tapi rezeki juri pilih untuk ke peringkat akhir.

"Jadi, jangan persoalkan rezeki orang, jangan ada busuk hati. Untuk pengetahuan anda, di GV ada juri profesional yang menilai dari semua segi," katanya.

Farahdhiya , Zamani

Artikel Berkaitan

Artikel Lain